Pandu Uji

TOYOTA COROLLA CROSS HYBRID, HIBRID TERPALING DIPERCAYAI DI DUNIA

Awal tahun 2022 yang lepas, kami telah memandu uji Toyota Corolla Cross varian termurah iaitu varian 1.8G yang dihasilkan secara CKD. Ketika itu varian 1.8G hanya berharga RM 123,000 sahaja tapi lengkap dengan lampu LED dan juga pintu ruang kargo berkuasa elektrik

Kali ini kami berpeluang memandu ujia Corolla Cross Hybrid, varian tertinggi yang ditawarkan oleh Toyota dan paling menjimatkan bahan api iaitu sekitar 23.3km per liter petrol. Untuk varian hibrid, ia ditawarkan dengan har

Seperti yang anda sedia maklum, Corolla Cross adalah SUV pertama yang menggunakan nama Corolla yang sebelum ini hanya digunakan pada model sedan sahaja. Dari segi luaran, varian hibrid nampak sama sahaja seperti varian petrol

Jika anda perasan, varian hibrid dihiasi dengan tema calitan berwarna biru yang diletakkan pada lampu depan, logo Toyota bahagian depan, logo di belakang dan juga pada fender depan kenderaan. Jangan risau bentuk luaran SUV ini sama seperti varian petrol

Ia tiada bentuk yang pelik seperti Toyota Prius 2010 dengan rekaan belakang Kammback dan juga rim aloi bertutup yang tidak menyelerakan. Pada pandangan penulis ia sebuah crossover yang mengetengahkan tema konservatif dalam rekaan yang kekal relevan untuk 10 tahun akan datang

Disebabkan Corolla Cross Hybrid ini datang dengan teknologi Toyota Safety Sense, maka logo depan datang denga rekaan yang lebih ringkas dengan unit sensor berada di belakang logo Toyota. Anda juga akan perasan terdapat kamera stereo yang bertindak memberi input kepada sistem TSS dipasang di sebalik cermin depan

Enjin 1800cc 4 silinder masih lagi dikekalkan bagi varian hibrid, cuma ia menggunakan kod yang jauh berbeza. Menggunakan kod enjin 2ZR-FXE, enjin ini menggunakan kitaran Atkinson hanya menjana 97 kuasa kuda dan 142Nm tork pada 3600 RPM sahaja.

Mekanisme dual-VVTi yang dipadankan dengan enjin ini berfungsi untuk menutup injap kemasukan lebih lewat berbanding biasa. Ini memastikan lejang kuasa lebih panjang berbanding dengan lejang kemasukan, ia merupakan ciri istimewa kitaran Atkinson yang menekankan kecekapan bahan api

Maka tidak hairanlah kuasa enjin adalah kurang berbanding dengan enjin 2ZR-FE. Namun fungsi enjin ini pada kebanyakan masa adalah untuk mengecaj bateri sistem, dimana kuasa elektrik tadi akan menjana motor elektrik. Pada kebanyakan masa motor elektrik inilah yang akan menggerakkan kenderaan

Motor elektrik ini akan menjana 71 kuasa kuda dan 163Nm tork, dan jika digabungkan dengan kuasa enjin sistem hibrid ini menjana 120 kuasa kuda. Nampak atas kertas rasa macam tak cukup, bila pedal minyak ditekan sebaik sahaja lampu isyarat mulai hijau boleh tahan Corolla Cross Hybrid ini melompat.

Dari sudut sisi, anda akan perasan yang rekaan baru Toyota sekarang tidak lagi menggunakan shoulder line yang nyata, sebaliknya digantikan dengan alunan menonjol di fender atau perumah tayar depan dan belakang seakan otot yang sasa. Rim pula bersaiz 18 inci dan dibalut dengan tayar Toyo bersaiz 225/50

Corolla Cross masih mengekalkan platform TNGA-C namun ia telah dipendekkan sebanyak 60mm berbanding Corolla sedan. Pada hemat penulis ia perlu dilakukan bagi memastikan rekaan atas ini lebih seimbang dan juga proportion.

Bagi mengekalkan ruang kargo 440 liter, bateri sistem hibrid diletakkan di bawah kusyen tempat duduk belakang. Sistem suspensi double wishbone untuk roda belakang pula digantikan dengan tetapan torsion beam yang lebih ringkas.

Hasilnya ruang kargo masih mampu menyimpan tayar kecemasan space saver, sangat penting jika anda selalu memandu keluar ke kawasan luar bandar. Untuk varian hibrid, pintu kargo boleh dibuka secara automatik dengan menggunakan sensor.

Jika anda biasa memandu Toyota Yaris dan Vios, anda akan mendapati Corolla Cross Hybrid ini jauh lebih selesa dengan ciri berikut:

1. Tempat menyandar dan kontur rekaan kusyen belakang memang sangat selesa untuk penumpang dewasa. Kusyen di bahagian tengah adalah rata dan luas tanpa bonggol. 5 penumpang boleh duduk dengan selesa

2. Ada 2 poin USB Type C untuk digunakan di bahagian belakang dan satu soket 12 Volt di dalam perehat tangan. Unit Multimedia dengan sambungan Android Auto/Apple Car Play juga boleh digunakan untuk mengecaj. Oh ya, satu lagi pengecaj tanpa wayar berada di bawah papan pemuka

3. Ruang kargo belakang boleh dibesarkan dengan melipat kusyen barisan kedua, menjadikan ruang kargo sebesar 1800 liter. Ada 2 tempat untuk menggantung barang dengan beban 3kg dan 4 cangkuk untuk mengikat barang besar

4. Perehat tangan boleh dipanjang ke depan, berbanding dengan Yaris/Vios yang kekal di tempat sama

5. Kusyen depan pun terasa sangat premium jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain, sebaik sahaja anda duduk maka anda tahu bahawa anda boleh duduk lama di kusyen ini dengan selesa.

Pengalaman Pemanduan

6. Sebaik sahaja anda menekan pedal minyak, maka anda akan meluncur dengan bantuan motor elektrik jika bateri mencukupi dan enjin akan masuk membantu motor elektrik jika anda memerlukan pecutan yang lebih

Sebenarnya anda tak tahupun samaada motor elektrik yang bekerja, atau enjin sedang digunakan kerana langsung tiada getaran atau gegaran yang boleh dirasai. Pecutan yang dihasilkan oleh motor elektrik pun boleh tahan kuat menerjah ke depan

7. Satu-satunya tanda yang anda tahu anda sedang dalam mode Elektrik ialah lampu EV berwarna hijau sedang menyala. Kalau bateri cukup, anda boleh memilih untuk menggunakan mode Elektrik sepenuhnya seperti memandu keluar daripada taman

8. Fokus pemanduan Corolla Cross Hybrid adalah pada keselesaan dengan operasi enjin, motor dan sistem hibrid yang senyap. Satu-satunya bunyi yang anda dengar ialah bunyi tayar Toyo yang bergolek. Ditambah pula dengan tetapan sistem penyerap hentak yang lembut, maka anda akan lebih selesa memandu secara santai

9. Tangki bahan api Corolla Cross adalah sekitar 36 liter sahaja, dengan purata RM 60 sahaja untuk satu tangki penuh. Mungkin ruang bateri telah mengambil ruang tangki bahan api menjadikan tangki lebih kecil.

10. Satu tangki penuh membolehkan Corolla Cross dipandu sejauh 600km merangkumi lebuhraya, jalan persekutuan dan jalan bandar. Kereta hibrid sebenarnya lebih efisyen dipandu di dalam bandar berbanding dengan lebuhraya kerana proses regeneratif boleh berlaku dengan senang

Secara realistik, Corolla Cross Hybrid memberikan bacaan sekitar 20.5km bagi setiap liter petrol. Anda boleh mendapat 23.8km per liter jika memandu secara santai antara 80-95km per jam

11. Tiada gear konvensional yang digunakan walaupun brosur menyatakan ia menggunakan e-CVT. Semua kuasa akan digabungkan melalui Power Split Device yang akan menggabungkan kuasa enjin dan motor elektrik atau menggunakan salah satu punca kuasa sahaja

Tapi sayangnya tiada kawalan yang disediakan untuk pemandu mengawal brek regeneratif secara manual seperti yang disediakan pada HR-V e:HEV dan City e:HEV. Tapi operasi brek regeneratif adalah lancar dan tidak mengganggu brek konvensional

12. Walaupun Corolla Cross Hybrid fokus pada keselesaan, tapi tidak bermakna ia tidak seronok jika dibawa ke jalan berselekoh. Ia masih kekal lincah, boleh mengambil selekoh dengan kemas dan yakin walaupun tetapan suspensi belakang menggunakan torsion beam. Platform TNGA ini memang padu betul

13. Namun begitu, beberapa aspek lain masih boleh dibaiki bagi menjadikan Corolla Cross Hybrid lebih seronok untuk dipandu. Kusyen depan untuk pemandu perlu diberikan butang memori, brek parkir kaki perlu diganti dengan brek parkir elektrik dengan ciri autohold dan sensor parkir depan perlu ditambah

14. Pakej Toyota Safety Sense pula merangkumi Pre-Collision System, Lane Departure Alert dengan sistem pembetulan stering, Dynamic Radar Cruise Control, Auto High Beam, Sistem Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang serta kamera 360 darjah

15. Secara peribadi penulis memang letakkan Corolla Cross Hybrid sebagai wishlist untuk menggantikan kereta sedan meskipun ada beberapa kelemahan jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Kalau anda rasa 23.3km/liter itu macam biasa sahaja, anda kena ingat yang Corolla Cross Hybrid ini ialah crossover bersaiz besar dengan rim 18 inci

Bayangkan petrol Ron 91 di Thailand berharga RM 4.50, Ron 95 RM 4.55 dan Ron 95 premium berharga RM 5.50, rasanya hampir semua pengguna akan memilih varian hibrid.

Google ads
Back to top button