Buletin

TOYOTA HILUX GR SPORT DI AUSTRALIA DAPAT ENJIN LEBIH POWER! 221HP, BERMULA RM207K

Toyota melancarkan varian perdana baharu Hilux GR Sport di Australia. Sebelum ini Toyota Hilux GR Sport telah didedahkan di beberapa negara seperti Jepun, Thailand dan Indonesia yang menyaksikan jentera itu menerima peningkatan dari segi kosmetik.

Untuk pasaran Australia, ia bukan hanya mendapat naik taraf kosmeti, malah talaan semula pada suspensi, brek serta enjin yang lebih berkuasa.

Diinspirasikan daripada jentera rali Toyota Hilux yang bertanding dalam Rally Dakar, pereka bentuk dan jurutera dari Toyota Australia terlibat secara meluas dalam pembangunan trak itu. Mereka mengambil input daripada rakan sekerja di Amerika Latin, Thailand dan Jepun. Toyota Hilux GR Sport dikatakan mempunyai output kuasa yang hampir sama dengan Nissan Navara Pro-4X Warrior.

Dari luaran, Hilux GR Sport Australia kelihatan lebih garang serta lasak dengan menampilkan bampar hadapan direka semula dengan padanan salur masuk berukir, gril kemasan hitam dan skid plate aluminium.

Selain itu, overfender satin black membuatkannya kelihatan jauh lebar berbanding trim sebelumnya. Logo eksklusif GR pula ditampal pada gril hadapan dan pintu tailgate belakang serta dapat dilihat pada panel kemasan bed belakang.

Rupa lasak Hilux GR Sport Australia dipadankan dengan roda aloi hitam bersaiz 17 inci. Secara keseluruhan, jarak antara roda hadapan dilebarkan sebanyak 140mm dan belakang bertambah 155mm.

Ia juga menerima kelengkapan tambahan untuk laluan off-road seperti skid plate di bawah ruang enjin, pemijak sisi logam jenis rock rail serta dua cangkuk penyelamat belakang dalam kemasan merah. Toyota mengatakan bahawa alat ganti baharu itu telah diuji dalam terowong angin untuk kecekapan aerodinamik.

Penyerap hentak mendapat pemadanan unit monotube dengan daya redaman serta penyisihan haba lebih tinggi dan spring lingkaran lebih keras bagi membolehkan imbangan talaan suspensi hadapan serta belakang boleh optimumkan. Kestabilan trak pikap ini juga dipertingkatkan.

Untuk menghentikan Hilux GR Sport ini, terdapat set brek hadapan yang terdiri dari cakera berliang dengan angkup empat omboh dalam kemasan merah. Manakala brek belakang dipasang brek cakera bersama angkup omboh tunggal.

Di ruang kabin, Hilux GR Sport mendapat upholsteri kulit, logo Gazoo Racing pada stereng, perehat kepala, tali pinggang keledar kemasan merah dan pedal. Skrin sentuh untuk sistem infotainmen bagaimanapun dikekalkan.

Enjin diesel empat silinder 2.8 liter pengecas turbo telah ditala untuk menjana kuasa 221hp dan tork 550Nm hasil kawalan pengecasan turbo serta suntikan bahan api. Kedua-dua angka itu mewakili peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding kuasa asal iaitu 201hp dan tork 500Nm.

Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda melalui kotak gear automatik yang diubah suai dengan bantuan sistem 4WD Toyota.

Toyota Hilux GR Sport spesifikasi Australia dijadualkan tiba pada separuh kedua 2023. Toyota masih belum mengumumkan harga tetapi ia dijangka berharga AS$47,324 (RM207,089).

GALERI:

Google ads
Back to top button