Artikel Pilihan

TOYOTA TUNDRA ADA KEMBAR DI CHINA BERNAMA TUNDAR – SENANG BETUL KERJA KORANG YA

Kalau anda peminat trak pikap ataupun pacuan empat roda nama Toyota Tundra memang bukan sesuatu yang asing. Memang ia tidak dipasarkan di Malaysia tetapi ia cukup laris di Amerika Syarikat dan bersaing dalam pasaran dengan pikap saiz penuh keluaran Chevrolet, GMC dan Ram.

Tapi rupa-rupanya pikap hebat ini ada kembar tidak seiras dari China keluaran SVH dan dinamakan Tundar. Bukan salah eja tapi memang itu namanya. Cubalah buat carian dalam Internet, memang tak wujud pun perkataan tu sebenarnya.

Kalau tak tengok gambar memang tak sangka yang Tundar ni memang tiruan Tundra. Tiruan Tundra terbaru pulak tu. Tapi yang menariknya ia tidak disalin bulat-bulat tapi lebih kepada versi miniatur Toyota Tundra. Nampak comel tapi pada masa yang sama rasa menyampah pun ada. Bayangkan watak asal yang gagah perkasa tapi menjelma menjadi watak kerdil.

SVH merombak kembali rekaan asal Tundra tapi nampaknya mereka terlupa untuk menyusun kembali tulisan TUNDRA pada pintu dek kargo belakang. Jem.

Sekali tengok Tundar ini memang macam lukisan kanak-kanak tadika yang dilukis dengan krayon. “Papa kita baru beli kereta baru. Besarrr. Nama dia Tundar” kata Boboi Haikal Syah kepada Rayyan Astakonaleper.

Ia nampak ‘comel’ dengan tayar-tayar bersaiz 13 inci (Tundra ori guna tayar saiz 18 inci). Tayarnya pun lebih kecil dari skrin paparan Tundra yang bersaiz 14 inci. Kelegaan bumi? Apa tu? Ini Tundar tau bukan Tundra, jadi kelegaan buminya hanya lebih kurang je dengan Camry. Hahaha.

Saiznya enjinnya juga jauh lebih menjimatkan cukai jalan berbanding Tundra ori. 1.0L je dan jauh lebih kompak berbanding 3.5L V6 pada Toyota Tundra. Bijak tak? Enjinnya punyalah kecil sampai nampak tenggelam dalam ruang enjin tu.

Enjin 3 selinder ini kemudiannya dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan hanya menggunakan pacuan dua roda. Kelajuan maksima? 100 km/j bang. Okeylah untuk hantar ayam proses ke pasar.

Bahagian dalamnya nampak boleh tahan dan cukup lengkap. Ada roda stereng tiga jejari, panel instrumentasi digital (tak pelik pun zaman ni), dan kemasan papan pemuka serta pintu berwarna merah terang (manyak ong oo).

Penyaman udara dan kamera perakam pun ada. Boleh daripada tak ada langsung. Pelapik kakinya nampak agak mewah tapi tuhan sajalah tahu ianya diperbuat daripada apa. Plastik baja kitar semula kot?

Google ads
Back to top button