Buletin

PELANGGAN SAMAN HERTZ SELEPAS DIKEPUNG DAN DISANGKA PENCURI KERETA. ANAK MASIH TRAUMA DAN TAKUTKAN POLIS

Hertz disaman oleh seorang pelanggan yang ditahan oleh polis dengan senjata api selepas kereta sewanya dilapor secara salah sebagai dicuri oleh pihak Hertz sendiri. 

Nicholas Wright menyewa sebuah kereta bersama anak perempuannya berusia 13 tahun daripada anak syarukat Hertz, Thrifty pada Oktober tahun lalu. Hanya selepas 30 minit, dia dikepung oleh sepasukan anggota polis di satu ruang parkir di Georgia dalam keadaan takut. 

“Ketika itu saya memakai sehelai jaket hoodie dengan tangan di dalam poket dan hujan. Jika silap langkah, anak perempuan saya mungkin ditembak,” kata Wright. 

Pengurus di Thrifty dikatakan ketawa apabila mendengar insiden tersebut apabila dihubungi oleh Wright. Dia kemudian ditawarkan dengan naik taraf kereta dan diskaun sebanyak AS$200 (RM900). 

Polis hanya melepaskan Wright selepas pengurus Thrifty tiba di lokasi kejadian. “Insiden ini sudah banyak berlaku dengan Hertz,” pegawai polis memberitahu Wright. 

Akibat kejadian itu, Wright mendedahkan bahawa anaknya masih perlu menjalani terapi dan takut kepada polis. “Sebagai seorang anak muda, dia mungkin terpaksa mengharungi perkara ini sepanjang hayatnya. Hertz perlu bertanggungjawab,” tegas Wright. 

Ratusan pelanggan Hertz kini menyaman syarikat itu kerana alasan sama. Hertz bagaimanapun menegaskan ia akan mempertahan diri daripada tuduhan tidak berasas itu. 

“Hertz sangat menghargai pelanggan dan kami berjaya menyediakan kereta sewa kepada puluhan juta pengembara setiap tahun. Kami komited untuk memberikan perkhodmatan terbaik kepada pelanggan. 

“Namun, pada masa yang sama akan melindungi diri daripada tuduhan salah dan memberi kesan kepada syarikat,” kata Hertz dalam satu kenyataan.

Google ads
Back to top button