Buletin

TOYOTA LANCAR TUNDRA 2022 DI AMERIKA. V6 TWIN-TURBO, 6 VARIAN, SUSPENSI UDARA BELAKANG

Trak pikap merupakan ialah model penting di pasaran Amerika Syarikat dengan Ford F-Series menjadi jentera paling laris di sana selama hampir empat dekad. 

Segmen trak siaz besar dimonopoli oleh F-150, ia dicabar sengit oleh Chevrolet Silverado 1500 dan Ram 1500. Memiliki peminatnya yang tersendiri, Toyota kini tampil dengan Tundra baharu untuk meningkatkan lagi penguasaan pasarannya.  Tundra 2022 hadir dengan banyak penambahbaikan dalam semua segi demi menarik minat pengguna. 

Jentera yang memiliki penampilan lasak serta rugged berkenaan direka di Ann Arbor dan Newport Beach, California. Rupanya bagaimanapun bergantung kepada varian yang dipilih. Apa pun, Tunda mempunyai wajah lebih garang bersama gril bersaiz besar, corong udara menegak dan lampu utama berbentuk T. 

Tiang A diwarnakan hitam, manakala bahagian belakang pula didatangkan dengan rekaan hud dan fender yang maskular. Lampu belakang terdiri daripada lampu LED tiga dimensi yang diposisikan secara menegak. Lampu itu dikatakan 20 peratus lebih terang berbanding model terdahulu. 

Ruang kargo belakang menggunakan permukaan aluminium baharu yang lebih ringan, selain tahan hakisan dan lebih kukuh. 

Tundra ditawarkan dalam gayaan badan Double Cab dan Crew Max dengan bed bekakang bersaiz 5.5, 6.5 atau 8.1 kaki. 

Tidak lagi menggunakan enjin V8 5.7 liter pada model sebelum ini, Tundra kini hadir dengan enjin V6 bersesaran 3.5 berkuasa 389hp/649Nm dan rangkaian kuasa hibrid dikenali sebagai i-Force Max yang mampu menjana 437hp dan tork 790Nm. Motornya dikuasakan oleh bateri nickel-metal hydride yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Kuasa itu tidak jauh berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh Ford F-150.

Enjin turbo berkembar dengan blok aluminium itu dilengkapi intercooler penyejukan cecair dan struktur dua lapisan water jacket untuk aliran penyejukan yang maksimum. Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan. 

Tundra menawarkan kuasa menunda sehingga 5.4 tan, naik sebanyak 17.6 peratus berbanding model lama. Kapasiti maksimum beban juga ditingkatkan kepada 880kg, kenaikan lebih 11 peratus. Ia hadir dengan dua mode menunda iaitu standard dan Tow/Haul+. Ciri panoramic view monitor membolehkan pemandu melihat keadaan kenderaan yang ditunda pada skrin sistem infohibur.  

Toyota membina Tundra 2022 di atas platform ladder frame baaru yang turut digunakan oleh Land Cruiser. Ia tampil dengan kerangka belakang lebih lebar dan tegar untuk meningkatkan kestabilannya. Bagi meningkatkan keselesaan, Tundra tidak lagi menggunakan suspensi jenis dedaun pada roda belakang. Sebaliknya, ditukar kepada jenis multi-link.   

Varian tertentu pula dipasang dengan suspensi udara pada gandr belakang yang mempunyai fungsi larasan automatik dan manual. Suspensi hadapan terdiri daripada double wishbone baharu. Pelanggan juga boleh memilih suspensi boleh ubah adaptif untuk pengendalian lebih mantap. 

Ruang dalaman menerima peningkatan ketara dengan sistem infohibur Audio Multimedia baharu Toyota bersaiz 8 atau 14 inci yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Segala maklumat pemanduan pula dipaparkan menerusi kluster instrumen bersaiz 12.3 inci.   

Tundra ditawarkan dalam enam varian iaitu SR, SR5, Limited, Platinum, 1794, TRD Pro dan akan mula dijual tidak lama lagi. Varian TRD Pro hadir dengan gril berwarna hitam bersama perkataan TOYOTA pada bahagian atas bar LED, rekaan camo pada bampar depan belakang, fender flare dan arcar roda, huruf TRD Pro pada tailgate, skid plate aluminium TRD, sistem ekzos TRD dan tayar all-terrain Falken Wildpeak.

Tundra TRD Pro juga dipasang dengan bar penstabil hadapan, kit pengangkat hadapan 1.1 inci dan pakej TRD Off-Road yang merangkumi sistem Multi-Terrain Select, Downhill Assist Control dan Crawl Control.

Crawl Control secara asasnya merupakan kawalan jelajah berkelajuan rendah dengan lima tetapan kelajuan yang boleh dipilih. Manakala Multi-Terrain Monitor dilengkapi sistem kamera bantuan sekeliling untuk memantau dan mengelak halangan.

Varian paling tinggi itu juga menggunakan sistem penyerap hentak FOX 2.5 inci dengan tabung simpanan minyak tambahan untuk prestasi off-road lebih baik. Ia menggunakan bendalir jenis polytetrafluorethylene-infused untuk mengurangkan kadar geseran dan meningkatkan keselesaan atas jalan raya.

Dari segi keselamatan, semua varian Tunda dipasang dengan Toyota Safety Sense 2.5. Tidak ketinggalan kawalan jelajah radar dinamik, lane departure alert, automatic high beam dan banyak lagi.

GALERI

Google ads
Back to top button