Buletin

TOYOTA YARIS CROSS 2023 TIBA DI INDONESIA. ENJIN 1.5L NA DAN HIBRID, BERMULA RM106K

Toyota hari ini memperkenalkan SUV Yaris Cross baharu untuk pasaran ASEAN dengan Indonesia menjadi destinasi pertama di rantau ini. Selain ASEAN, model SUV serba baharu tersebut dijangka turut memasuki pasaran Eropah.

SUV Yaris Cross baharu dibangunkan di atas platform DNGA modular, sama seperti Toyota Avanza, Vios generasi baharu, Toyota Raize dan banyak lagi.

Di Jepun, ia mempunyai dimensi 4,180mm (panjang), 1,150mm (lebar), 1,580mm (tinggi) dan jarak roda pada 2,560mm. Bagi pasaran Indonesia, model ini berukuran sepanjang 4,310mm manakala jarak roda 2,620mm.

Dari luar, SUV Yaris Cross dipadankan bersama gril dan lampu hadapan yang kelihatan sedikit agresif seperti Highlander manakala bahagian belakang tampil seakan gaya RAV4.

Di bahagian dalam kabin, model ini didatangkan bersama papan pemuka berukir serta konsol tengah tidak simetri selain dimuatkan dengan sistem infotainmen skrin sentuh 10.1-inci dan panel instrumen digital 7-inci.

Ciri-ciri lain termasuklah panoramic glass roof, lampu ambien, port pengecasan tanpa wayar, ketersambungan telefon pintar tanpa wayar, T intouch, sistem amaran trafik lintasan belakang serta sistem bantuan pemandu, Toyota Safety Sense.

Dari segi kuasa, jentera berkenaan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter kod 2NR-VE yang mampu menghasilkan 105hp dan tork 138Nm. Bagi versi hidrid 2NR-VEX, ia berupaya menghamburkan kuasa 80hp, tork 141Nm serta 90hp dan tork 121Nm daripada motor elektrik.

Enjin berkenaan dipadankan bersama sistem transmisi jenis CVT untuk varian hibrid, manakala varian standard menerima transmisi manual lima kelajuan.

SUV Yaris Cross bakal ditawarkan pada harga bermula Rp350 juta (RM106,334) untuk versi 1.5 liter NA. Bagi varian hibrid pula, ia dijual dengan tanda harga bermula Rp450 juta (RM136,641).

Google ads
Back to top button