Buletin

TOYOTA VIOS 2023 KINI DI INDONESIA, ENJIN 1.5 LITER MACAM MYVI, BERMULA RM95K

Toyota Vios 2023 dilaporkan sudah berada di pasaran Indonesia selepas dilancarkan di Thailand dan Laos untuk rantau ASEAN. PT Toyota Astra Motor (TAM) menawarkan Vios dalam tiga varian iaitu E Type, G CVT Type dan varian tertinggi G TSS CVT yang dilengkapi ciri Toyota Safety Sense.

Penggayaan Vios 2023 kelihatan seperti fastback dan menawarkan lima pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Attitude Black, Metal Stream Metallic, Grey Metallic dan Red Mica Metallic. Dimensi model generasi keeempat itu ialah 4,410mm panjang, lebar 1,740mm, tinggi 1,480mm dengan jarak roda 2,620mm.

Ia didatangkan dengan rekaan lampu LED hadapan nipis bersama jalur lampu nyalaan siang (DRL) LED, gril bampar lebih tinggi serta sepasang liang udara sisi dengan rekaan lima segi.

Bahagian belakang pula terdapat lampu dengan rekaan bersegi, serta lampu isyarat membelok LED jenis sequential untuk varian G CVT dan G TSS CVT. Penutup but model generasi baharu itu lebih pendek dan sporty, tetapi lebih tinggi bagi memberikan ruang kargo yang besar.

Semua varian dilengkapi kotak CVT dengan brek cakera pada semua roda sebagai ciri standard, rim bersaiz 17 inci, stereng kuasa, brek parkir elektronik (EPB), Brake Hold, skrin infotainmen 9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Varian E Type pula mendapat rim bersaiz 16 inci, tuas brek tangan fizikal, skrin infotainmen terapung 9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Hanya varian G TSS sahaja didatangkan dengan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense (TSS). Ia merangkumi Amaran Pra-Pelanggaran serta Bantuan Brek, Kawalan Kesilapan Operasi Pedal, Amaran Keluar Lorong, Pengelakan Keluar Lorong, Bantuan Suluhan Tinggi, Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Kawalan Jelajah Adaptif, dan Amaran Pergerakan Hadapan.

Vios 2023 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter 2NR-VE, sama seperti digunakan pada model Myvi . Enjin itu menghasilkan kuasa 105hp pada 6,000rpm dan tork 138Nm pada 4,200rpm. Hanya varian E Type sahaja ditawarkan dengan transmisi manual lima kelajuan, sementara dua varian tertinggi dipadankan dengan transmisi CVT.

Harga untuk Vios generasi baharu di Indonesia bermula dari RM95,925 hingga RM112,222.

GALERI:

Google ads
Back to top button