Buletin

TOYOTA YARIS HYBRID DAPAT VERSI GR SPORT DI UK, DARI RM129K

Di UK, Toyota baru-baru ini mengumumkan kehadiran Yaris Hybrid versi GR Sport dengan membawakan elemen sporti, serta penambahbaikan terhadap aspek pengendalian hatchback tersebut.

Tiada sebarang talaan dibuat terhadap trenkuasa enjin hibrid M15A-FXE 1.5 liter itu, akan tetapi aspek pemanduan dipertingkatkan dengan melakukan perkara berikut:

– penambahan struktur pendakap bawah lantai untuk peningkatan tahap ketegaran casis
– penambahan pelapik pada arka roda depan dan belakang untuk mengurangkan seretan aerodinamik
– talaan kepada sistem suspensi untuk pengendalian kelajuan rendah, pecutan dan brek yang lebih baik.

Secara standard, Yaris Hybrid GR Sport ini mendapat rim aloi bersaiz 18 inci dengan kemasan dekorasi merah di sekeliling, kemasan krom pada jeriji hadapan, diffuser belakang berbentuk T baharu, kemasan merah yang menyerupai jalur LED antara lampu belakang, serta kehadiran lencana wajib Gazoo Racing.

Ruang kabin pula didatangkan dengan kerusi sports berlogokan GR, balutan upholsteri fabrik dengan kemasan jahitan kontras berwarna merah serta tidak ketinggalan logo GR pada butang pandu mula dan roda stereng yang dibaluti kulit dan jahitan kontras merah.

Antara kelengkapan standard Yaris Hybrid GR Sport ini termasuklah sistem pendingin hawa dua zon automatik, sistem multimedia lapan inci, sistem audio dengan enam pembesar suara, serta integrasi Apple CarPlay dan Android Auto.

Terdapat pakej opsyen yang ditawarkan untuk pembeli di UK seperti berikut:
City Pack – cermin sisi auto lipat, penderia parkir depan dan belakang serta fungsi brek automatik, sistem pemantauan titik buta, sistem navigasi
Essential Protection Pack – perlindungan bampar belakang, boot liner, mudflap depan dan belakang
Protection + Pack – perlindungan bampar belakang keluli kalis karat, boot liner, mudflap depan belakang, alas lantai getah

Di UK, Toyota Yaris Hybrid GR Sport memiliki tanda harga bermula dari £24,420 (RM128,934).

Google ads
Back to top button