
TOYOTA YARIS RASMI DILANCARKAN – 3 VARIAN, BERMULA RM70,888 SEUNIT
UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini melancarkan Toyota Yaris serba baharu secara rasmi.
Yaris merupakan model kedua selepas Toyota Vios yang dipasang di kilang baru UMWT di Bukit Raja, Klang, Selangor.
Sebagai tambahan terkini dalam barisan kenderaan Toyota, Yaris menjadi bukti sokongan syarikat terhadap usaha kerajaan untuk meningkatkan jumlah kandungan serta aktiviti pengeluaran kenderaan tempatan.

“UMW Toyota Motor sudah agak lama tidak menawarkan model hatchback. Kali terakhir Yaris dijual adalah antara di tahun 2006 dan 2012 yang dibawa masuk secara CBU dari Jepun. Dalam tempoh itu, kira-kira 1,000 unit Yaris berjaya dijual.
“Selera dan keperluan pengguna juga sudah berubah. Kini kita melihat ramai pelanggan, terutama golongan muda menggemari rekaan hatchback kerana ia memberikan imej sporty.
“Melihat perkembangan ini, kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan semula Yaris ke pasaran Malaysia. Model ini merupakan hatchback CKD pertama yang dikeluarkan oleh UMW Toyota Motor,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Yaris ditawarkan dalam tiga varian — Yaris 1.5G, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5J. Untuk menyerlahkan lagi imej sporty, lima warna menarik diperkenalkan termasuklah warna khas Citrus Mica Metallic (kuning). Pilihan warna lain ialah putih, merah, hitam dan perak.
Harga Yaris (di atas jalan tanpa insurans) untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia ialah:
- Yaris 1.5G — RM83,888
- Yaris 1.5E — RM76,888
- Yaris 1.5J — RM70,888

Enjin 1.5 liter
Yaris dijana oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter, empat-silinder DOHC Dual VVT-i. Enjin ini dipadankan dengan kotak gearSport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan yang ditala untuk memberikan penjimatan dan kuasa yang lancar.
Selain mempunyai mode manual untuk menukar gear, suis Drive Mode membolehkan pemandu menikmati pemanduan yang agresif atau santai.

Imej hatchback yang sporty
Yaris sememangnya tampil dengan profil rekaan yang lebih segar dan sporty. Berbeza dengan hatchback lain yang rekaannya mungkin sedikit berkotak, profil Yaris nyata kemas bersama garis-garis tajam di badannya.
Bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu utama nipis. Di samping rekaan gabungan bampar, lampu nyalaan siang (DRL) LED dan gril radiator yang agresif.
Belakang Yaris hadir dengan sepasang lampu yang diposisikan secara horizontal. Rekaan bamparnya juga memberi pandangan bahawa jentera ini memiliki titik graviti yang rendah.

Ruang kabin ergonomik
Penumpang dihidangkan dengan sistem pendingin hawa automatik, sistem DVD-AVX dengan paparan skrin sentuh tujuh inci, slot USB, kamera panoramik (PVM) dengan visual 360 darjah dari atas kenderaan.
Tidak perlu bimbang dengan ruang penyimpanan barang kerana pasukan jurutera Toyota sudahpun menyelesaikan masalah itu untuk anda. Tempat meletak botol minuman, ruang kecil mengisi peranti atau sebagainya boleh anda temui di dalam kabin dengan mudah.

Satu soket 12V dan dua slot USB untuk mengecas pelbagai peranti elektronik bagi pemandu dan penumpang ada disediakan. Tempat duduk pula dibalut dengan material berkualiti tinggi agar kelihatan lebih mewah.
Jika memerlukan ruang kargo lebih luas, baringkan sahaja penyandar tempat duduk belakang yang boleh dilipat rata. Jadi, barangan panjang boleh dimuatkan tanpa sebarang masalah.

Ciri Keselamatan
Hatchback ini menerima penarafan ASEAN NCAP lima bintang. Antara ciri keselamatan yang dipasang pada Yaris ialah tujuh beg udara SRS, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman (TRC) serta bantuan mula mendaki (HAC).
Ciri-ciri standard lain pula termasuklah cermin pandang belakang elektrokromatik dan suis Drive Mode. Tidak ketinggalan ciri-ciri seperti pemantau titik buta (BSM) dengan amaran lintasan trafik di belakang, DVR dengan amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan amaran penukaran lorong (LDW).
Pemilik Yaris akan menikmati jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.
- BACA: UMWT UMUM HARGA TOYOTA YARIS. BERMULA RM71,888
- BACA: TOYOTA YARIS USDM, MACAM PERNAH LIHAT KAN?
- BACA: PADA 1995, TOYOTA STARLET GLANZA DIPERKENALKAN DI JEPUN
- BACA: BERAPA TAHAP PENGGUNAAN PETROL TOYOTA SUPRA? INI JAWAPANNYA