
UMWT UMUM HARGA TOYOTA YARIS. BERMULA RM71,888
UMW Toyota menerusi laman web rasminya telah mendedahkan senarai harga – lebih awal daripada pelancarannya yang dijadualkan pada 18 April nanti.
Harga jualan Yaris bermula pada RM71,888.00, RM77,888.00 dan RM84,888.00. Besar kemungkinannya ia akan mengikut skema harga “abang” sedannya Toyota Vios yang turut dibahagikan kepada tiga gred utama.
Pada harga bermula RM71,888 ini, ia hampir sama dengan varian yang ditawarkan pesaingnya Honda Jazz yang bermula pada RM70,242. Bagaimanapun Honda Jazz hadir dengan varian yang lebih banyak, iaitu varian S, E, V, Mugen dan juga Hybrid.

Yaris menggunakan platform rekabentuk sama seperti Vios 2019. Bahagian dalamannya terdapat paparan multi-fungsi MID 4.2-inci. Bagi peralatan keselamatan, dilaporkan bahawa keseluruhan varian akan dilengkapi dengan 7 beg udara.
Varian paling tinggi akan memperolehi ciri-ciri pengesanan titik buta (Blind Spot Monitoring), fungsi bantuan parkir panoramik 360 darjah, kamera rakaman DVR dan sebagainya.
Sama seperti Vios, Yaris dilengkapi dengan hanya 1 pilihan enjin – 1.5 liter 2NR-FE Dual VVT-i yang sama seperti Vios 2019. Prestasi output ialah 107 PS dan tork 140 Nm, dan ia dipacu transmisi CVT 7 kelajuan.
Terdapat lima pilihan warna disediakan iaitu Citrus Mica Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.
Model ini dihasilkan di kilang pemasangan baru UMW Toyota Bukit Raja yang sama seperti Vios 2019.
GALERI