Buletin

TOYOTA YARIS USDM, MACAM PERNAH LIHAT KAN?

Sebagai pengikut dunia automotif tempatan, boleh dikatakan ramai sudah mengetahui bahawa kerjasama atau rebadge di antara dua syarikat pengeluar adalah sesuatu yang biasa.

Walaupun Proton dan Perodua sudah lama mempraktikkan amalan ini masih ada yang tidak dapat menerimanya.

Perkara sebegini sebenarnya bukan sahaja dilakukan oleh pengeluar kecil untuk menjimatkan kos tetapi juga pengeluar besar.

Di antara contoh mudah ialah apabila Mercedes-Benz mengambil Nissan Navara sebagai pikap keluaran mereka.

Jika tidak rebadge pun, dua atau lebih pengeluar akan bersama-sama membangunkan sesebuah model dengan hasil akhir yang berbeza.

Sekali lagi contoh yang mudah ialah pembangunan BMW Z4 dan Toyota Supra A90.

Terbaru Toyota terlibat lagi dalam kerjasama dengan pengeluar lain, kali ini dalam projek Yaris.

Yaris 2020 menggunakan Mazda2 Hatchback dan projek ini khusus untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja.

Ini bukan projek pertama Toyota dan Mazda di AS, sebelum model hatchback, Toyota terlebih dahulu menggunakan Mazda2 Sedan sebagai Yaris iA.

Satu perkara menarik ialah Mazda2 Hatchback dan Sedan tidak ditawarkan di AS. Jadi tidak tidak timbul isu pengguna keliru untuk memilih Mazda atau Toyota.

Untuk Yaris, Toyota mempunyai model berbeza mengikut pasaran seperti negara ASEAN dan Eropah.

Sebelum pengenalan Yaris 2020, Toyota mempunyai modelnya sendiri iaitu Yaris Liftback yang sama seperti versi Eropah dan dihentikan untuk memberi laluan kepada Yaris-Mazda2 ini.

Dengan pengenalan baharu ini, Yaris mempunyai tiga versi berlainan iaitu ASEAN, Eropah dan AS.

Stratergi ini ternyata berbeza dengan pesaing lain misalnya Honda Jazz yang mempunyai satu versi sahaja untuk pasaran global.

Berikut ialah ciri-ciri utama Toyota Yaris USDM 2020:

  • Dua varian iaitu LE dan XLE
  • Roda aloi 16 inci untuk kesemua varian
  • Enam beg udara
  • Teknologi keselamatan Low-speed Pre-collision Safety System yang mampu mengesan risiko kemalangan seterusnya mengeluarkan amaran dan bantuan brek automatik

  • Turut dilengkapi sistem keselamatan aktif seperti Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), Anti-lock Brake System (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD), Brake Assist (BA), dan Brake Override System (BOS)
  • Enjin 1.5 liter berkuasa 106 hp dengan mampatan tinggi (12.0:1)
  • Transmisi enam kelajuan automatik
  • Mod Sport untuk pemanduan lebih menyeronokkan

Berkenaan harga pula, Toyota belum lagi mendedahkannya dan sekadar untuk rujukan Yaris iA dipasarkan pada AS $15,950 atau RM 65,109.

*1 USD = RM 4.082

Tags
Google ads
Back to top button