
UMW TOYOTA PANGGIL SEMULA 1,900 UNIT ALPHARD & VELLFIRE – MASALAH BREK PARKIR ELEKTRIK
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) semalam mengumumkan kempen servis khas untuk mengemas kini unit kawalan elektronik (ECU) untuk sistem brek parkir elektrik (EPB) bagi model Toyota Alphard dan Vellfire.
Sekitar 1,900 unit yang dikeluarkan di antara April 2016 hingga Februari 2018 dan diedarkan oleh UMWT terlibat dalam kempen ini.
Kemas kini sistem ECU brek pakir elektrik itu perlu dibuat kerana wujud kemungkinan berlakunya kekurangan voltage semasa enjin dihidupkan semula setelah idling stop.
Tetapi, ECU akan mengesannya sebagai keganjilan, sekiranya bateri kenderaan mengalami pengurangan tenaga. Ini akan menyebabkan sistem EPB tidak berfungsi dan lampu amaran akan menyala.
Demi memastikan keyakinan dan ketenangan fikiran para pelanggannya, UMW Toyota akan menghubungi semua pelanggan yang terjejas.
Pelanggan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Toyota: 1800-8-869682 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Kunjungi laman sesawang toyota.com.my untuk maklumat berkaitan Kempen Servis Khas Toyota dan untuk mengesahkan sekiranya kenderaan anda terbabit.
Muat turun Toyota Drive Apps yang mempunyai pautan kepada Kempen Servis Khas Toyota.