Buletin

UMW TOYOTA PERKENAL HARRIER BARU- RM238,000. HAI KERETA RECOND APA KHABAR?

Pameran Malaysia Autoshow hari ini berlangsung dengan beberapa kejutan yang tak disangka. UMW Toyota sebentar tadi membuka tirai pameran mereka dengan mempertontonkan Toyota Harrier baru. Ya. Toyota Harrier baru sudah sedia dibeli, tak perlu beli recond lagi!

Sepanjang setahun yang lepas kita asyik bercakap tentang C-HR, malah UMW Toyota juga beberapa kali mempamerkan SUV kompak itu kepada umum. Tetapi hari ini mereka mempertontonkan Harrier terbaru dalam pameran yang dirasmikan pada hari ini.

Harrier generasi ketiga ini mula diperkenalkan di Jepun pada 2014 dengan enjin 2.0 liter N/A berkuasa 155ps. Kemudian pada tahun ini, ia mendapat penambahbaikan ketara menerusi model facelift dengan enjin baru yang “dipinjam” dari Lexus. Unit penjana dari Lexus NX200t tersebut menawarkan kuasa yang jauh lebih baik – 235 kuasa kuda.

Umum mengetahui, UMW Toyota tidak pernah membawa masuk Harrier secara rasmi. Namun sejak memperkenalkan Alphard dan Vellfire pada tahun lepas, halatuju kenderaan premium Toyota kini lebih jelas. Untuk rekod, mereka pernah membawa masuk Toyota Wish 2.0 (yang dipasangkan di Thailand pada 2008)

Harrier adalah SUV premium Toyota sejak dari generasi awal lagi. Bagi dua generasi sebelumnya, ia berkongsi platform dengan Lexus, namun generasi ketiga, ia adalah model independent yang terpisah dari Lexus. NX200t hari ini sudah tiada kena mengena langsung dengan Harrier.

Model ini berkongsi platform dengan RAV-4, namun sesuai dengan konsep SUV premium, Harrier dilengkapi pelbagai ciri menarik seperti salutan bahagian dalaman kulit alcantara, tebatan bunyi yang bagus, sistem bunyi premium oleh Bose, tailgate automatik dan jika anda masih ingat untuk pasaran Jepun, model premium jepun juga dilengkapi dengan suspensi airmatic menerusi model AIR-S.

UMW Toyota akan membawa masuk dua spesifikasi pilihan iaitu 2.0T Luxury dan 2.0T Premium. Tidak jelas spesifikasinya secara terperinci kalau dibandingkan dengan spesifikasi yang dibawa oleh penjual recond iaitu Elegance, Premium dan Premium Advance.

Seperti garis model Toyota sebelum ini, Luxury sentiasa menjadi paling tinggi dan jika anda berkesempatan, anda boleh melihat model ini dari dekat, ia dipamerkan di pameran Malaysia Autoshow bertempat di MAEPS yang sedang berlangsung.

Model Premium dijual pada harga RM238,000 sementara Luxury pula RM259,900. Kesemuanya ialah harga atas jalan, lengkap dengan GST dan insurans.

Mahal berbanding recond? memang lah, banding kereta terpakai dengan yang baru tentu lah yang baru lagi mahal.

Apapun, membeli daripada pengedar sah UMW Toyota adalah satu kelebihan di mana anda tak perlu risau tentang servis lepas jualan. Sama seperti kereta-kereta edaran mereka, Harrier didatangkan dengan jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan.

Lebih penting, anda tak perlu pening kepala nak terjemah arahan dalam bahasa Jepun. Harrier UMW-Toyota sama fungsi dengan mana-mana kereta lain di bawah edaran Toyota.

Tempahan model ini mula dibuka pada hari ini. Menurut sumber kami, pelancaran rasminya dijangka pada Januari tahun depan.

Jadi. tak lama lah nak tunggu pun. 

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”125″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button