Buletin

UPM BANGUN DRON DARIPADA DAUN NANAS. BAGUS JUGA NI

Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta pesawat udara tanpa pemandu (UAV) atau dron daripada gentian bahan semulajadi daripada daun nanas.

Dron yang diberi nama Putra Unmanned Aerial Vehicle atau Putra UAV itu memiliki ciri daya rintangan elektrik (electrical resistance).

Ia merupakan inovasi pertama seumpamanya menggunakan gentian bahan semulajadi atau biokomposit daripada daun nanas.

Putra UAV berkeupayaan terbang pada ketinggian sehingga kira-kira 30 meter dan boleh berada di udara selama kira-kira 20 minit.

Dengan ciri istimewa mempunyai daya rintangan elektrik, ia boleh mengelak berlakunya litar pintas. Ia juga mudah dibaiki jika berlaku kerosakan kecil.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Ir. Ts Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan berkata struktur Putra UAV terdiri daripada rangka yang diperbuat daripada gentian semula jadi itu.

Struktur yang lain ialah motor, bilah dan bateri yang boleh dicaj semula.

Menurutnya, kebanyakan dron pada masa ini diperbuat daripada plastik, gentian karbon dan aluminium yang dikategorikan sebagai gentian sintetik.

Secara perbandingan, katanya, dron yang diperbuat daripada bahan semulajadi atau biokomposit mempunyai nisbah kekuatan yang tinggi berdasarkan berat berbanding dron daripada gentian sintetik.

Selain itu, ia lebih murah, ringan, manakala bahan semulajadinya mudah diperoleh, dan konduktiviti elektrik yang rendah.

“Justeru, biokomposit berpotensi besar menggantikan bahan sedia ada dengan beberapa kelebihan seperti ringan dan mesra alam kerana faktor biodegradasi yang mudah terurai dan dilupus dalam tanah,” katanya.

Penghasilan dron itu turut membabitkan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Malaysia UAV Drone Activist Society (MUDAS). – Awani


Google ads
Back to top button