
INILAH E-SCRAMBLER MAMPU MILIK DARI DUCATI – BERSYUKURLAH
Ducati memang ada mengeluarkan scrambler tetapi sasarannya lebih kepada golongan muda kerana dimensinya yang agak kecil dengan gaya retro dan harga yang lebih rendah (kalau banding dengan Panigale la).

Jadi bila Ducati umumkan mengenai e-Scrambler ramai yang menyangka yang ianya sebuah scrambler biasa dengan kuasa elektrik yang sudah menjadi trend masa kini. Tak sangka pula yang ianya adalah sebuah basikal elektrik yang dibangunkan secara bersama oleh Ducati dan Thok Ebikes.
Disifatkan sebagai kenderaan yang ideal untuk kegunaan di bandar dan di desa, Ducati e-Scrambler ialah sebuah basikal kayuh dengan bantuan kuasa yang cukup sesuai untuk digunakan setiap hari. Nak kayuh pergi kerja dalam bandar pun boleh nak beriadah di kawasan desa masa hujung minggu pun boleh. Cuma kali ini anda boleh melakukannya dengan lebih bergaya. Ducati ni boh.

Menurut Ducati, e-Scrambler ini menawarkan keselesaan yang sama seperti basikal tradisional kerana mempunyai tapak graviti yang rendah dan kerangka yang bersesuaian. Mereka juga akan membekalkan tempat duduk teleskopik khas untuk memudahkan penunggang naik dan turun selain mampu duduk dengan lebih selesa dan selamat sewaktu berhenti khususnya di lampu isyarat.
Basikal ini dikuasakan oleh bateri 504 Wh yang kemudiannya membekalkan kuasa kepada motor 260-watt Shimano Steps E7000 untuk bantuan kayuhan. Jarak operasinya belum lagi didedahkan tetapi basikal ini menggunakan komponen berteknologi tinggi seperti kerangka aluminium sepenuhnya.

Selain daripada itu ia turut dilengkapi dengan transmisi Sram NX 11-kelajuan, brek Sram 4-piston, tempat duduk dan pemegang Ducati dan tayar-tayar Pirelli Cycl-e. Itu tidak termasuk aksesori lain untuk kegunaan seharian seperti rak barangan, madgad, tongkat dan lampu isyarat membelok.
Berapa harganya? Ia dijual dengan harga USD4,280 (RM18,226.38) di Eropah. Murah la tu kan kalau banding dengan Panigale. Mana nak dapat Ducati baru dengan harga macam ni kan?


