Buletin

KIA MULA ‘USIK’ PAPAR GAMBAR SUV SONET. BAKAL LANCAR 7 OGOS DI INDIA

Pengeluar kereta Kia mula memperlihatkan gambar teaser model SUV terbaharu Sonet yang bakal dilancarkan di India pada 7 Ogos ini.

Model Kia Sonet Concept mula membuat kemunculan di Delhi Auto Expo 2020. Melalui lakaran gambar teaser berkenaan ia kelihatan tidak jauh beza berbanding model Concept ini.

Kia Sonet mengekalkan identiti jenama kenderaan ini dengan rekaan gril hidung harimau dan jaring gril geometrik tiga dimensi stepwell.

“Melalui pengenalan Kia Sonet, kami menyimpan cita-cita dalam menterjemah SUV kompak terbaharu ini dengan karakter yang hanya terdapat pada kenderaan lebih besar iaitu kuat dan mantap.

“Dengan pemikiran ini, kami telah membangunkan sebuah SUV memiliki penampilan sporty, keyakinan tinggi dan sentuhan dinamik,” kata Naib Presiden Kanan dan Ketua Pusat Reka Bentuk Kia Motors Corporation, Karim Habib.

Dia menambah, model itu akan menjadi kereta kedua yang dikeluarkan di India selepas pengenalan Seltos.

Katanya, ia tidak hanya terhad kepada India sahaja tetapi akan menarik minat pengguna di seluruh dunia.

Model terbaharu ini menyasarkan golongan muda celik teknologi, menawarkan sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.25 inci, teknologi rangkaian kesinambungan Kia UVO, sistem bunyi premium Bose dan sunroof.

Selain itu, Kia Sonet ini dilaporkan bakal mendapat pilihan enjin 1.2 liter dengan transmisi manual.

Pengguna juga boleh memilih enjin turbo 1.0 liter dengan transmisi iMT tanpa klac atau DCT. Pilihan lain ialah enjin diesel 1.5 liter dengan transmisi manual dan automatik. – carscoops.

Google ads
Back to top button