Artikel Pilihan

VIDEO SAMBUTAN ULANGTAHUN AWD SUBARU – NAK SAMBUT BIARLAH PENUH GAYA

Subaru Leone 4WD 1972 merupakan model pertama Subaru yang menggunakan sistem pacuan empat roda dan tahun ini mereka menyambut ulangtahun ke 50 model-model Subaru yang menggunakan pacuan empat (dan AWD).

Sebelum Subaru sistem 4WD hanya digunakan oleh kenderaan seperti Toyota Land Cruiser dan yang sewaktu dengannya tetapi Subaru telah berjaya memecahkan tradisi dengan menggunakannya pada kereta penumpang biasa. Bukan hanya untuk sekali dua tetapi berkekalan sehingga ke hari ini.

Sebelum ini kami pun dah menerangkan tentang sambutan ulangtahun ke 50 AWD ini jadi kali ini kami fokuskan kepada video rasmi sambutan ini. Untuk sambutan ke 50 AWD ini Subaru telah mengeluarkan lebih sedozen model-model AWD dari koleksi bersejarah milik mereka dan dibawa ke litar ujian Tochigi.

Okey, sejarah penghasilan kereta 4WD Subaru ini bermula sekitar awal tahun 70 an bila syarikat Tohoku Elektrik Power Company di utara Jepun meminta bantuan Subaru untuk menghasilkan kenderaan khusus untuk kegunaan pekerja mereka sewaktu musim salji.

Subaru kemudian telah menghasilkan lapan buah prototaip kenderaan 4WD dan dijual kepada syarikat TEPCO. Tiada ada satu pun dijual kepada orang awam. Sayang sekali bila satu-satunya model istimewa tersebut sudah musnah ditelan gempa bumi yang melanda Tohoku pada tahun 2011.

Subaru pernah menunjukkan model pertama itu yang dinamakan Tohoku FF-1 di Tokyo Motor Show 1971 sebelum ia digantikan dengan model Leone 1971. Pada awalnya sistem 4WD ini hanya ditawarkan untuk kenderaan kegunaan komersil. Tapi ia kemudiannya menjadi sangat popular sehinggakan ramai yang mengubahsuainya dengan menambahkan tempat duduk barisan kedua untuk kegunaan peribadi.

Subaru nyata bersikap terbuka dan menerima idea tersebut sekaligus lahirlah Leone 4WD Sedan 1975, kereta penumpang dengan teknologi 4WD (berwarna perak di dalam video). Trend menggunakan sistem AWD menjadi sebahagian daripada legasi Subaru dan berkekalan sehingga ke hari ini.

Okey video ni memang nampak macam video promosi model Crosstrek baharu tapi ingat senang ke nak tengok model-model dari koleksi lama Subaru memecut di atas litar. Nikmatilah bersama sebungkus maruku ekstra pedas sempena cuti Depavali yini.

Google ads
Back to top button