
Selepas mengambil alih jenama KTM, Pierer Mobility Group (PMG) kini muncul sebagai pengeluar dua roda no.1 di Eropah setelah merekodkan jualan 190,293 unit motosikal pada separuh pertama 2023.
PMG tekad untuk memastikan mereka mengekalkan status itu pada 2024 bukan sahaja dengan KTM malah merangkumi Husqvarna, GasGas dan terbaru, MV Agusta.

Bagaimanapun, PMG kini berdepan cabaran getir berpunca dari ketidaktentuan ekonomi dunia dengan Bank Pusat Eropah telah pun mengesahkan akan mengekalkan kadar faedah sama bagi tahun 2024.
Sehubungan itu, bagi memastikan angka pengeluaran terus meningkat di samping memastikan kos pengeluaran kekal di tahap minimum, PMG telah membuat keputusan untuk membuang lebih 300 pekerja di Austria dan memindahkan kilang pembuatan ke China dan India.

China menjadi lokasi utama berdasarkan kerjasama semasa dengan CFMOTO yang ketika ini menghasilkan model 790 Duke dan 790 Adventure untuk pasaran global. Sementara itu, India pula bertanggunjawab memasang model 390cc ke bawah termasuk 390 Duke, RC 390 dan 390 Adventure.

Ketika ini, kilang utama di Austria bertanggungjawab menghasilkan model 890 Duke, 1290 Duke dan 1290 Super Adventure. Namun, perkembangan terbaru ini hampir pasti menyaksikan tanggungjawab itu akan digalas CFMOTO selepas ini.