
VINFAST BAKAL MASUK PASARAN MALAYSIA MENJELANG 2025
Pengeluar kereta Vietnam, VinFast baru-baru ini dilaporkan bakal memasuki pasaran Malaysia dan akan melabur dalam pembinaan kilang pemanduan sebelah kanan di Indonesia.
Kilang baharu itu akan membekalkan terutamanya pasaran seperti Asia Tenggara dan Australia.
Menurut Pengarah Jualan dan Rangkaian VinFast Indonesia, Surachman Nugroho, kilang VinFast itu akan terletak di Bekasi, Jawa Barat.

“Kilang kami juga akan memberi perkhidmatan kepada pasaran eksport pemacu kanan seperti Thailand, Singapura, Malaysia dan Australia,” kata Surachman.
“Pengeluar kereta VinFast merancang untuk memasuki Indonesia dan melabur dalam membina kilang pemasangan.
“Bukan itu sahaja, jenama dari Vietnam ini juga mahu menjadikan Indonesia sebagai pangkalan pengeluaran kereta bagi negara pemanduan kanan,” jelasnya.
Dilaporkan kilang mereka di Indonesia akan meliputi kawasan seluas 200 hektar, di mana ia bukan sahaja bertanggungjawab untuk memasang kereta baharu, tetapi juga bahagian berkaitan kenderaan elektrik seperti bateri dan motor pada masa hadapan.
Untuk rekod, kilang berkenaan hanya akan mula beroperasi menjelang 2025, bermakna model VinFast bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan pada tahun tersebut atau lebih lewat.
Walaupun VinFast sedang giat mengembangkan perniagaannya secara global sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jualan mereka sebenarnya tidak begitu memberangsangkan.
VinFast menetapkan sasaran jualan tahunan sebanyak 50,000 unit untuk tahun 2023 tetapi hanya terjual 11,315 unit sahaja. – Automachi
- BACA: KRITIKAN TERHADAP VINFAST TERLALU PEDAS, SEORANG PENGGUNA FACEBOOK DITAHAN, SALAHGUNA HAK KEBEBASAN BERSUARA
- BACA: MAJORITI JUALAN EV VINFAST DIBELI OLEH GREEN AND SMART MOBILITY – SYARIKAT MILIK VINFAST
- BACA: VINFAST SEDIA MASUK PASARAN INDONESIA, RANCANG PEMBUATAN BATERI
- BACA: SAHAM VINFAST MELONJAK 270 PERATUS DI NASDAQ, ATASI VOLKSWAGEN, FORD