SAHAM VINFAST MELONJAK 270 PERATUS DI NASDAQ, ATASI VOLKSWAGEN, FORD
Pembuat kereta terbesar Vietnam, VinFast, baru-baru ini menikmati pertumbuhan mengagumkan apabila saham syarikat berkenaan melonjak 270 peratus di Nasdaq di hari pertama dagangan mereka.
Untuk rekod, ia dibuka pada AS$22 (RM102), lebih daripada dua kali ganda harga awal AS$10 (RM46) dan ditutup pada AS$37 (RM172) setiap satu.
Lonjakan itu mendorong paras pasaran VinFast melebihi AS$85 bilion (RM394 bilion), sekaligus mengatasi Volkswagen (VLKAF) atau Ford (F), yang masing-masing bernilai AS$69.7 bilion (RM323 bilion) dan AS$48 bilion (RM223 bilion).
VinFast kini masih 99 peratus dimiliki oleh orang terkaya Vietnam, Pham Nhat Vuong, melalui saham yang dipegang oleh syarikatnya, Vingroup serta entiti perniagaan lain.
Vuong, pengerusi kedua-dua Vingroup dan VinFast, menyaksikan kekayaannya sendiri turut melonjak kira-kira AS$39 bilion (RM181 bilion).
Pertumbuhan positif tersebut menjadikan VinFast sebagai syarikat terbesar Vietnam tersenarai di AS mengikut modal pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Thuy Le berkata, “Adalah menjadi harapan kami bahawa penyenaraian VinFast akan memberi inspirasi dan membuka peluang lebih besar kepada jenama Vietnam untuk mengambil bahagian dalam pasaran global.”
Setakat ini, syarikat itu berjaya mengeluarkan empat model kenderaan elektrik dan menghantar kira-kira 19,000 kenderaan.
Sebagai perbandingan, Volkswagen menjual 4.4 juta kenderaan hanya dalam enam bulan pertama 2023, lebih daripada 321,000 daripadanya adalah elektrik.
- BACA: VINFAST AKAN BAYAR PEMBELI EV RM 461 BAGI SETIAP ISU KUALITI YANG DITEMUI.
- BACA: VINFAST PANGGIL SEMULA 999 UNIT VF8 DI AS, MASALAH SKRIN PAPAN PEMUKA
- BACA: VINFAST VF8 DIKRITIK TERUK SEMASA PANDU UJI, DIKRITIK DAN DIKUTUK SECARA TERBUKA
- BACA: VINFAST PERKENALKAN EV MAMPU MILIK, VF 5 PLUS, HARGA RM102K – NAK LAWAN JENAMA CHINA DI VIETNAM