Buletin

VINFAST PANGGIL SEMULA 999 UNIT VF8 DI AS, MASALAH SKRIN PAPAN PEMUKA

Pembuat kenderaan elektrik (EV) Vietnam, VinFast mengumumkan bahawa mereka menarik semula semua kenderaan kumpulan pertama yang dihantar ke Amerika Syarikat tahun lepas.

Penarikan semula itu dibuat selepas Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan AS (NHTSA) menyatakan 999 kenderaan VF8 VinFast mengalami masalah perisian pada paparan papan pemuka.

Menurut NHTSA, masalah berkenaan menyebabkan maklumat keselamatan kritikal gagal dipaparkan sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

NHTSA memaklumkan penarikan semula itu akan disampaikan kepada pelanggan melalui surat pemberitahuan selewat-lewatnya pada 29 Mei ini.

Dalam satu kenyataan kepada Reuters, VinFast berkata setakat ini tiada sebarang laporan insiden tidak diingini berpunca daripada kegagalan skrin papan pemuka.

Pada Februari lalu, VinFast juga menarik balik 2,781 kereta VF8 yang dijual di Vietnam kerana mempunyai masalah brek hadapan.

VinFast, diasaskan pada 2017, mula menjual EV di California tahun ini dan telah menghantar 2,097 unit ke Amerikat Syarikat.

Selain itu, VinFast turut merancang untuk menghantar kenderaan pertamanya ke Eropah pada bulan Julai nanti.

Google ads
Back to top button