Buletin

VIOS CHALLENGE, “PERLUMBAAN JALANAN” YANG LUAR BIASA!

Musim pertama perlumbaan Vios Challenge telah mencapai kemuncaknya menerusi perlumbaan yang telah berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur pada 24 dan 25hb Mac lalu. Ia telah membawakan aksi dan keseronokan yang amat jarang sekali dapat dinikmati oleh peminat sukan permotoran tempatan.

Ia pernah disifatkan sebagai sebuah projek perlumbaan yang bercita-cita tinggi dianjurkan oleh syarikat pengeluar kenderaan di Malaysia. Tetapi, usaha untuk membawakan perlumbaan akar umbi kepada khalayak yang lebih luas itu kini telah terbukti berjaya mencapai matlamatnya. 

Ini dapat dilihat dari sambutan daripada pengunjung di Kuala Lumpur dan juga perlumbaan terdahulu di Batu Kawan, Pulau Pinang, MAEPS, Serdang dan Medini City, Johor Baharu.

Vios Challenge menjadi acara utama hujung minggu dengan hampir 40 buah jentera Toyota Vios berspesifikasi sama bersaing di dalam tiga kategori berasingan iaitu; Sporting, Super Sporting dan Promotional.

Ia menjadi acara utama bagi Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival di mana pelbagai acara menarik seperti penampilan selebriti, permainan pentas, pertunjukkan drift, pameran kenderaan, karnival makanan dan banyak lagi menjadi tarikan untuk seisi keluarga.

“Vios Challenge diadakan dengan tujuan untuk membawa sukan permotoran lebih dekat kepada warga Malaysia. Kami inginkan lebih ramai individu yang menghargai sukan lumba dalam persekitaran yang selamat disamping menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan yang dapat dialami seisi keluarga. Melihat daripada wajah dan sambutan pengunjung di setiap lokasi, saya percaya kami telah berjaya membawakan acara yang unik dan menarik kepada orang ramai,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Purata kehadiran pengunjung di setiap lokasi ialah 21,000 orang bagi setiap hujung minggu ia berlangsung dan sekaligus menjadikannya sukan lumba paling popular dan melakar sejarahnya yang tersendiri. Tidak diragukan lagi, kualiti perlumbaan yang ditampilkan juga adalah sangat tinggi, tidak kira bagi kategori mana sekalipun.

Pemandu-pemandu selebriti dalam kategori Promotional khususnya, telah menarik perhatian peminat mereka ke acara ini, malah prestasi pemanduan yang ditunjukkan oleh mereka juga sangat mengagumkan.

Shukri Yahaya yang lebih dikenali kerana watak-watak yang dibawa dalam drama TV telah menunjukkan kemahiran memandu yang sangat baik; catatan masa bagi pusingan kelayakan yang dicapai pada acara terakhir itu sebenarnya membolehkan beliau berada dibarisan kedua bagi kategori Sporting.

Diana Danielle, ibu kepada dua anak yang pernah memaklumkan bahawa beliau sudah tidak ingat cara yang betul untuk memandu kereta manual semasa sesi sekolah pemanduan untuk perlumbaan, telah berjaya meletakkan dirinya di kedudukan 10 teratas di dalam kelompok yang sama melalui prestasi yang ditunjukkan.

“Inilah harapan kami ketika membawakan konsep perlumbaan ini ke Malaysia. Kami ingin memberi pendedahan terhadap sukan lumba permotoran kepada peserta baru dan menyediakan ruang untuk mereka membangunkan kemampuan sendiri; sekaligus menjadikan mereka pemandu yang lebih baik di atas jalan,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama.

Beliau menjadi individu yang layak untuk mengulas demikian memandangkan dirinya sendiri turut serta di dalam perlumbaan berkenaan pada setiap hujung minggu penganjurannya pada musim pertama tersebut.

Selebriti beatboxing, Shawn Lee meneruskan penguasaannya dan muncul juara bagi kategori Promotional; beliau hanya tewas sebanyak dua kali daripada lapan perlumbaan yang disertai.

BACA: TOYOTA VIOS 2018, BERMULA RM74,980 – BODYKIT TRD, ANTENA SHARK FIN, SENSOR PARKIR

Bukan itu sahaja, penampilan Putera Drift Malaysia, Tengku Djan membawakan aksi-aksi mengujakan dan mendebarkan peminat serta pesaing di  litar. Kawalan kenderaan serta pemanduan litar yang ditampilkan oleh Djan menjadi pemangkin kepada kemeriahan dan merancakkan lagi saingan antara pelumba dalam merebut kejuaraan – dan tidak terkecuali juga diasak dengan sengit oleh pesaing terdekatnya, William Ho.

Seorang lagi pemandu yang memberikan persembahan terbaik kategori Sporting yang perlu diberi perhatian tentunya Brandon Paul Anthony. 

Berusia 20 tahun, beliau tidak pernah berlumba menggunakan Toyota Vios sebelum ini dan hanya menyertai perlumbaan ini pada acara kedua yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Beliau telah menampilkan pemanduan yang berkualiti untuk meraih kejuaraan ketika perlumbaan terakhir di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur tempoh hari.

Terdapat banyak lagi bakat-bakat baru yang masih boleh digilap muncul sepanjang perlumbaan Vios Challenge musim pertama ini berlangsung. Dan, pada separuh kedua 2018 nanti, sebahagian daripada mereka mungkin akan ikut serta sekali lagi untuk siri perlumbaan Vios Challenge musim kedua.

Google ads
Back to top button