Buletin

ACCORD 2018 TIDAK LAKU – HONDA HENTIKAN PRODUKSI SELAMA 11 HARI

Honda Motor Co. dilapor bakal menghentikan produksi Honda Accord 2018 di kilangnya di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat selama 11 hari untuk tempoh empat bulan akan datang.

Langkah itu diambil berikutan jualan Accord yang perlahan dan jumlah invontori yang kian meningkat. Produksi akan dihentikan selama dua hari setiap bulan bermula April hingga Jun 2018.

Kilang juga akan ditutup pada cuti tahunan sempena musim panas pada Julai.

Pada 1 Mac 2018, inventori Honda Accord berada pada kadar 104 hari. Pengedar Honda menyatakan bahawa salah satu sebab kenapa model itu tidak laku adalah kerana kurangnya tawaran pembiayaan yang menarik.

“Kami selalu mengubah suai jadual produksi di kilang. Buat masa sekarang, kami hentikan sementara produksi berdasarkan kepada kondisi pasaran semasa,” kata jurucakap Honda.

Tahun lalu, Honda melabur sebanyak AS$267 juta (RM1.03) bilion ke atas kilang untuk meningkatkan produksi sedan tersebut. Kilang itu menawarkan 300 peluang pekerjaan baru kepada penduduk setempat.

Selain Accord, kilang terbabit turut menghasilkan model mewah Acura ILX dan Acura TLX.

Google ads
Back to top button