Buletin

VIP CLASS SPRINTER DARI CLIVE SUTTON, BOLEH MUAT 9 PENUMPANG, KEMEWAHAN ATAS 4 RODA!

Puncak kemewahan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah ialah jenis dua kerusi di belakang yang siap keluar dari kilang.

Namun ada lagi yang lebih mewah iaitu MPV pesanan khas dengan pelbagai kelengkapan. Contoh terbaru boleh dilihat pada VIP Class Sprinter yang disiapkan Clive Sutton.

MPV ini asalnya sebuah Mercedes-Benz Sprinter. Bahagian dalam tampil mewah dengan balutan kulit, dua skrin 4K berkembar saiz 40 inci, peti sejuk dan sistem audio sekeliling pawagam.

Menggunakan Sprinter bermakna pelanggan mempunyai ruang yang luas atau lebih daripada 15,000 liter untuk dinikmati penumpang belakang.

Clive Sutton memuatkan tujuh kerusi individu dan bukan sahaja selesa di tempat duduk, ruang kepala mempunyai ketinggian lebih dua meter.

Pelanggan boleh memesan pelbagai kelengkapan seperti mesin kopi, bilik mandi dengan sinki cuci tangan dan tandas curahan. 

Ruang belakang juga boleh dipasang almari saiz penuh bagi memanfaatkan MPV dengan lebar 1.79 meter dan tinggi 2 meter.

Banyak lagi pilihan yang boleh dipesan pelanggan seperti kerusi dengan pemanas, penyaman udara berkuasa tinggi, bumbung panoramik dua bahagian atau tiga pada model jarak roda panjang.

Kemewahan tidak terhad kepada ruang belakang dengan pemandu dan penumpang sisi menikmati kerusi balutan kulit.

Harga? Bermula daripada 180,000 pound (RM1,058,311). Selain Sprinter, Clive Sutton turut menawarkan dua lagi model iaitu V-Class dan Vito. 

Harga itu tidak tinggi jika dibandingkan dengan model mewah yang keluar dari kilang kerana model sebegini mempunyai ruang luas selain menggunakan perkakasan khas.

Pelanggan boleh memesan unit sedia ada atau tempahan khas dan Clive Sutton menawarkannya kepada pelanggan di serata dunia.

Google ads
Back to top button