Buletin

VOLKSWAGEN GOLF MK8. PLUG-IN HYBRID, SISTEM DIGITAL LEBIH CANGGIH

Volkswagen AG akhirnya melancarkan model hatchback Golf secara rasmi dalam satu acara yang disiarkan secara langsung di Wolfsburg, Jerman.

Tidak seperti model sebelum ini, Golf Mk8 akan didatangkan dengan sekurang-kurangnya lima varian hibrid.

Dua daripadanya ialah plug-in hybrid yang dilengkapi pek bateri lithium-ion berkapasiti 13kWh baharu yang membolehkannya bergerak sejauh 60km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.  

Dari segi dimensi, jentera itu sepanjang 4,284mm, 1,789mm lebar, setinggi 1,456mm dan mempunyai jarak roda mencecah 2,636mm.

Golf serba baharu ini menampilkan reka bentuk yang lebih tajam dengan bahagian hadapannya direndahkan sebanyak 2.21 m2. Aspek pekali seretan ditambah baik dengan hanya 0.275.

Volkswagen nyata mengekalkan DNA rekaan sebuah Golf yang sememangnya lagendari.

Golf dikuasakan oleh barisan enjin petrol dan diesel dengan sistem pengecas turbo berkuasa 90PS hingga 300PS. Kotak gaer manual enam kelajuan baharu telah dibangunkan untuk model pacuan roda hadapan.

Bahagian dalaman menerima perubahan yang sangat ketara. Pemandu dihidangkan dengan paparan head-up dan ketersambungan internet yang menggunakan sambungan eSIM bersepadu, bersama fungsi We Connect dan We Connect Plus.

Menurut Volkswagen, Golf baharu akan menetapkan penanda aras baru dalam kelasnya menerusi sistem bantuan pemandu.

Ciri Travel Assist membantu pemanduan di lebuh raya dengan kelajuan mencecah 210km/j tanpa memerlukan pemandu menekan brek dan pendikit minyak.  

Golf 2020 menjadi model Volkswagen pertama yang boleh berhubung dengan persekitaran sebagai ciri standard. Fungsi car2X mampu menerima maklumat daripada kenderaaan lain dan infrastuktur trafik dalam radius jarak sehingga 800 meter.

Ia turut dilengkapi lampu utama dan belakang LED, penghidup tanpa kunci, instrumen digital, paparan infohibur 8.25 inci, Lane Assist lane-keeping dan banyak lagi.

Hatchback itu akan mula berada di para pengedar Volkswagen di Eropah mulai Disember depan.

GALERI

Google ads
Back to top button