Motosikal

ANGIN LINTANG KUAT DI PHILIP ISLAND MEMAKSA SESI KELAYAKAN DIBATALKAN

Angin kuat yang berlaku di Selekoh 1 di Litar Philip Island menyebabkan pelumba pasukan KTM Tech3, Miguel Oliveira mengalami kemalangan serius.

Dia yang sudahpun mengalami kecederaan ligament bahu sejak perlumbaan di Litar Silverstone terus dibawa ke hospital. Selepas diperiksa, Oliveira disahkan tidak mengalami sebarang keretakan tulang.

Biarpun begitu, dia perlu melepasi pemeriksaan susulan sebelum dibenarkan meneruskan saingan pada petang ini.

Insiden itu membuatkan Suruhanjaya Keselamatan perlumbaan mengadakan mesyuarat tergempar dengan semua pelumba dan majoriti bersetuju untuk menunda sesi kelayakan ke pagi ini.

Langkah membatalkan sesi ujian masa itu dipuji oleh pelumba pasukan Aprilia, Aleix Espargaro. “Satu keputusan yang tepat. Tayar hadapan terapung kerana angin yang laju dan tidak menentu. Keadaan sangat sukar diduga.

“Saya berada di belakang Oliveira apabila dia tercampak kerana ditiup angin. Ia sangat menakutkan,” kata Espargaro.

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mengakui dia bimbang insiden yang menimpa Oliveira boleh berlaku jika sesi kelayakan diteruskan. Apatah lagi ketika semua pelumba cuba untuk mencatat masa terbaik pada Q1 dan Q2.

Keadaan diburukkan lagi dengan litar Philip Island yang mempunyai sektor pecutan tinggi dan selekoh laju. “Ini merupakan litar yang mempunyai masalah angin paling teruk. Pelumba terpaksa memastikan sudut tunggangan yang betul pada hamper keseluruhan perlumbaan,” kata Dovizioso.

Jika sesi kelayakan tidak boleh dijalankan pada pagi ini, kedudukan pelumba di GP Australia akan ditentukan mengikut keputusan latihan bebas. Ia bakal menyaksikan Dovizioso berada di posisi kedua di belakang pelumba Monster Yamaha, Maverick Vinales.

Tags
Google ads
Back to top button