
VOLKSWAGEN MALAYSIA TURUNKAN HARGA KERETA SEHINGGA RM9,484
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan penurunan harga model kereta pemasangan tempatannya sehingga RM9,484.
Menurut kenyataan VPCM, model Volkswagen merangkumi Polo, Vento, Tiguan dan Passat Manakala model Golf terdiri daripada varian R-Line, GTI dan R yang diimport sepenuhnya.
Dengan pengecualian cukai jualan, pelanggan dapat menjangka penjimatan sehingga RM3,881 untuk model Tiguan, RM6,133 model Passat dan RM4,884 bagi model Golf R-Line.
Pengarah Urusan Erik Winter berkata pengecualian cukai jualan tersebut akan memberi manfaat kepada pembeli kereta.
“Kami sentiasa berusaha untuk menjadikan kereta dengan kejuruteraan dari Jerman ini mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Berita baik ini membawa kepada lebih banyak penjimatan untuk pembeli kereta. Ia juga menjadi pemangkin yang amat diperlukan oleh sektor automotif yang suram ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan,” katanya.
VPCM berkata semua model Volkswagen didatangkan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan pengeluar dan bantuan di tepi jalan selama lima tahun.
Pelanggan boleh mengunjungi pengedar Volkswagen yang terdekat atau melayari laman web: www.volkswagen.com.my untuk maklumat lanjut mengenai harga terkini itu.