Buletin

PADA 2001 NISSAN SKYLINE V35 DIPERKENAL, SEDAN KEMBALI!

Nissan Skyline mempunyai sejarah menarik sejak puluhan tahun dahulu. Model ini bermula dengan Prince Skyline yang diperkenalkan pada 24 April 1957.

Prince Skyline adalah sedan mewah dan manakala varian sporti ditawarkan melalui Prince Skyline Sport Coupe dan Skyline Sport Convertible.

Dari situ, Skyline bermula siri dua gaya badan iaitu sedan dan coupe. Generasi seterusnya menyaksikan kesinambungan model berkuasa dan sporti di antaranya Skyline GT (Mei 1954), 2000GT (Oktober 1968) dan GT-R Skyline (Februari 1969).

Sepanjang sejarah Skyline, pelbagai gaya badan ditawarkan termasuk wagon dan crossover dan Nissan tidak menetapkan satu standard yang sama.

Tidak dinafikan model seperti GT-R R32, R33 dan R34 berjaya melonjakkan nama Skyline di kalangan peminat model berprestasi serata dunia.

Dalam meniti populariti tersebut, Skyline seakan menekan brek pada generasi ke-11 atau V35 yang diperkenalkan pada Jun 2001.

V35 memecah tradisi tanpa enjin enam sebaris, tanpa turbo sejak R30 dan paling mengejutkan tiada versi GT-R.

Skyline V35 sebenarnya kembali kepada Prince Skyline generasi pertama iaitu tampil mewah dan ini dibuktikan melalui penjenamaannya sebagai Infiniti G35.

Mengekalkan tradisi Skyline Sport pada generasi pertama, Nissan memperkenalkan Skyline Coupe yang dikeluarkan dari 2002.

Nissan membangunkan sedan V35 dengan konsep the ideal premium sports sedan of the 21st century. Ia sebenarnya satu cetusan idea yang berani dari Nissan.

Model ini dibina untuk pelanggan yang tidak hanya mahu menikmati pemanduan untuk diri sendiri tetapi juga menghargai keselesaaan untuk penumpang seperti ahli keluarga.

Seperkara menarik, V35 berkongsi platform FM dengan 350Z dan casis sedan itu ditala untuk flat ride atau kestabilan semasa mengambil selekoh dan jalan berliku.

Ciri aerodinamik disempurnakan sehingga mencapai zero lift hasil daripada rintangan udara yang berjaya dihapuskan walaupun pada kelajuan tinggi.

Pekali seretan (Cd) yang berjaya dicapai ialah 0.27 dan ia satu angka cemerlang dari segi aerodinamik.

Nissan berjaya menggabungkan dua perkara bertentangan iaitu pemanduan sporti dan keselesaan sebuah sedan kelas tinggi.

Sewaktu pelancaran, Nissan menawarkan tiga varian iaitu 300GT, 250GT dan 250GTe. Model 300GT digerakkan enjin VQ30DD (NEO Di) berkuasa 256 hp dan tork 324 Nm dengan transmisi 5M-ATx (lima kelajuan automatik  elektronik).

Model 250GT pula dibekalkan enjin VQ25DD (NEO Di) berkuasa 212 hp dan tork 270 Nm yang dipadan bersama transmisi M-ATx (empat kelajuan automatik elektronik dengan mod manual).

Nissan Skyline V35 dikeluarkan dari 2001 hingga 2006 manakala Skyline Coupe dari 2002 hingga 2007. Untuk generasi ke-12 (V36), Nissan mengekalkan konsep sedan mewah dan mula dijual pada November 2006.

Nissan Skyline Coupe V36 2010

Skyline Coupe menyusul tahun berikutnya dan pada generasi ini juga Skyline Crossover diperkenalkan pada 2009.

Bagaimana pula dengan GT-R?

Nissan mempunyai perancangan rapi, pada 2001 Nissan mempertontonkan GT-R Concept dan pada 2005 giliran GT-R Proto pula yang kedua-duanya menggunakan pentas Pameran Kenderaan Tokyo (TMS).

Nissan GT-R (R35) akhirnya diperkenalkan kepada orang ramai semasa TMS 2007. Berbelas tahun di pasaran, GT-R masih kekal relevan dan tarikan ramai.

Nissan GT-R 2007

BACA: NISSAN JUKE AUSTRALIA, 1.0 TURBO 3 SILINDER DAN DCT!

BACA: NISSAN KICKS KINI DI THAI, SAINGI HR-V, CX-3 (DAN X50?)

BACA: PADA 2005 NISSAN WINGROAD DIPERKENAL – SIRI AKHIR AD RESORT

Kredit teks: Nissan, Wikipedia. Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button