Buletin

AIRASIA LANJUT JUALAN PAS TANPA HAD RM399 HINGGA 15 JUN

AirAsia melanjutkan tempoh jualan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia selama dua hari lagi sehingga 15 Jun 2020 berikutan permintaan luar biasa.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, sejak dilancarkan pada 11 Jun, lebih 12,000 penerbangan sudah ditebus dengan penebusan penerbangan pertama dilakukan pada tujuh minit selepas pas berkenaan mula dijual.

“Destinasi utama yang menjadi pilihan ialah Kuching dan Kota Kinabalu. Selain itu, Tawau, Sibu dan Pulau Pinang mencatat jumlah penebusan penerbangan tertinggi dibuat bagi Julai dan Ogos,” jelas AirAsia dalam satu kenyataan.

Menurut AirAsia, pas yang ditawarkan pada harga RM399 itu membolehkan pemegangnya menebus penerbangan tanpa had dalam Malaysia ke 16 destinasi untuk tempoh perjalanan sehingga 31 Mac 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dalam membantu memacu dan mempercepat pemulihan pelancongan domestik.

“AirAsia berbangga kerana dapat membantu perkembangan ekonomi dengan tambang nilai hebat kami, terutama pada masa yang mencabar ini,” katanya.

Beliau juga menasihatkan penumpang supaya mengikuti semua nasihat perjalanan udara yang baru. Ini termasuk memakai pelitup muka sepanjang masa dan membersihkan diri dengan kerap.

Penumpang juga perlu menggunakan prosedur tanpa sentuhan AirAsia, tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan dan membuat pratempahan makanan panas secara dalam talian.

Tags
Google ads
Back to top button