Buletin

VOLVO CAR MALAYSIA LANJUTKAN JAMINAN BATERI PHEV SEHINGGA 8 TAHUN ATAU 160,000KM

Volvo Car Malaysia baru-baru ini mengumumkan lanjutan jaminan ke atas bateri jentera plug-in hybrid (PHEV) sehingga 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000km (mana-mana tiba dahulu).  

Pada Mac 2020, Volvo Car Malaysia ada menyatakan lanjutan jaminan bateri itu hanya untuk kenderaan Volvo yang didaftarkan mulai 1 Januari 2020 sahaja.

Namun, berdasarkan kepada maklum balas daripada pelanggan dan impak positif jangka panjang kenderaan elektrifikasi, tawaran itu diperluaskan kepada semua model PHEV sejak pelancaran XC90 T8 pada 3 Disember 2015.   

Tahun ini, Volvo Car Malaysia telah melancarkan S60 T8 R-Design CKD. Sekali gus menyertai rangkaian model premium PHEV Volvo seperti XC60, XC90 dan S90.

#MyVolvoJourney Contest

Di samping lanjutan jaminan bateri tersebut, Volvo Car Malaysia turut menawarkan pelanggan dan kakitangan servisnya dengan hadiah mingguan serta satu hadiah utama dalam peraduan #MYVolvoJourney.

Bermula 4 hingga 31 Disember 2020, pelanggan yang menghantar kenderaan mereka untuk diservis di mana-mana pusat servis sah Volvo layak mengambil bahagian dalam peraduan itu.

Mereka hanya perlu mendaftar melalui kod QR di pusat servis. Kemudian, nyatakan bukti servis dan tulis kisah pengalaman servis Volvo mereka dengan kreatif.  

10 orang pemenang mingguan akan menerima beg kulit tote Sandqvist bernilai RM2,146. Sementara tiga orang pemenang hadiah utama pula bakal membawa pulang beg Thule berharga RM7,753 seunit.

Pemenang mingguan akan diiumumkan pada setiap Jumaat bermula 11 Disember 2020. Manakala pemenang hadiah utama diumumkan pada 8 Januari 2021. Pemenang mingguan masih layak untuk menang hadiah utama.  

Maklumat lanjut mengenai pakej jaminan dan peraduan #MyVolvoJourney, sila layari laman web: www.volvocar.com/my atau ikuti Facebook Volvo Car Malaysia di http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-IG

Google ads
Back to top button