
VOLVO MASIH KEKAL DENGAN SASARAN TRANSISI EV 2030 – TEGUH PENDIRIAN VOLVO NI
Sebelum ini kita dah dengar kebanyakan syarikat pengeluar kereta menangguhkan pelaksanaan program EV mereka kereta pasaran yang tidak menentu. Volvo nampaknya masih mengekalkan tahun 2030 untuk pelaksanaan program EV mereka. Cuma peratusannya ditetapkan pada 90 ke 100 peratus.

Syarikat Sweden itu mengumumkan mereka akan memasarkan model EV seratus peratus menjelang 2030. Ia bakal menjadikan mereka nama besar pertama yang bakal berbuat sedemikian. Mereka kekal dengan pendirian tersebut biar pun syarikat lain mula mengundurkan balik strategi EV mereka.
Kini kesemua faktor yang diperolehi dari data jualan memaksa Volvo membuat perancangan kembali tapi masih dengan sasaran 2030. Peratusan sasaran jualan EV diturunkan sedikit ke 90-100 peratus. Kira ada harapan lagi la nak cecah 100 peratus. Peratus kecil itu ialah untuk model-model hibrid ringan jika ada permintaan dari pengguna.

Mereka menjangkakan lebih separuh kenderaan yang terjual oleh mereka ialah varian EV menjelang tahun hadapan. Sebab itulah mereka menawarkan varian EV untuk kesemua model baharu mereka untuk mempercepatkan lagi program transisi EV mereka.
Pengumuman ini dibuat Volvo sejurus selepas memperkenalkan model facelift XC90. Ia ditawarkan dengan varian plug-in dan hibrid ringan. Rancangan asal mereka ialah untuk menghasilkan EX90 yang merupakan sebuah model EV. Buat masa sekarang keduanya masih ditawarkan serentak kepada pengguna.
Volvo turut meletakkan kesalahan kepada infrastruktur pengecasan yang sangat perlahan pembangunannya dan kami memang setuju 200 peratus. Itu belum dicampur dengan penamatan insentif EV dari kerajaan-kerajaan di seluruh dunia (tak boleh ke ikut satu standard yang sama?). Itu belum termasuk tariff yang dikenakan kepada EV mengikut pasaran tertentu.

Volvo masih percaya penuh dengan masa depan EV jadi jangan harap la mereka akan muncul dengan enjin turbo disel ataupun enjin ICE baharu.