Buletin

VPCM LANCAR KEMPEN RAYA-RAYA VOLKSWAGEN. KEMAS KINI PASSAT, UMUM RAKAN INSURANS BAHARU

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan Kempen Raya-Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan penambahbaikan pada Tiguan Allspace Highline, Kempen Raya Selepas Jualan dan Volkswagen Insurance Plan (VIP).

Bermula sekarang hingga 31 Mei, pelanggan Volkswagen akan menikmati rebat duit raya sebanyak RM1,000 ke atas model-model terpilih. Passat Elegance hadir bersama insurans percuma selama 1 tahun. Manakala Passat R-Line ditawarkan dengan petrol percuma selama setahun.

Kedua-dua varian Passat itu ditawarkan dengan penjimatan tambahan dalam talian sebanyak RM3,500 apabila pelanggan membuat tempahan menerusi Volkswagen eShowroom.

Tiguan Allspace Highline/R-Line

Tiguan Allspace Highline 2021 kini ditawarkan dengan rim aloi Nizza bersaiz 18”, soket pengecasan USB-C, kemas kini radio bersama kawalan suara serta lampu belakang LED baharu dengan efek 3D.

Allspace Highline menggunakan gabungan rangkaian kuasa enjin turbo pancitan terus bahan api 1.4TSI dengan kotak gear klac basah direct shift 6-kelajuan (DSG) untuk memberi kuasa mengagumkan iaitu 150PS dan tork 250Nm. SUV itu juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.3l/100km.

Pelanggan Tiguan Allspace Highline juga akan menikmati rebat duit raya sebanyak RM1,000 dan penjimatan dalam talian berjumlah RM3,500.

Tiguan Allspace R-Line 2021 didatangkan dengan port data dan pengecasan USB-C serta naik taraf radio yang kini hadir bersama ciri ketersambungan App-Connect tanpa wayar untuk Apple CarPlay serta Android Auto.

Kempen Raya Selepas Jualan

Kempen Raya Selepas Jualan berlangsung sehingga 13 Jun. Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Raya, pemilik Volkswagen yang menghantar kenderaan mereka untuk diservis akan menikmati potongan sebanyak 20% untuk minyak enjin tulen Volkswagen. 

Mereka yang berbelanja minimum RM1,200 akan menerima kit penjagaan kereta secara percuma* ia merangkumi penggilap wax, syampu wax, penggilap cermin, penjagaan plastik dan kulit di dalam botol 50ml. Pemilik juga akan menerima paket Raya Volkswagen secara percuma.

Penambahan baharu ke dalam kempen Selepas Jualan Raya ialah promosi bilah pengelap cermin. Pemilik akan menerima diskaun sebanyak 20% ke atas semua bilah pengelap cermin bermula sekarang hingga 30 Jun dan ia boleh didapati di semua pusat servis di seluruh negara.

Rakan Insurans VIP Baharu

VPCM berbesar hati untuk mengumumkan rakan insurans baharu di bawah Volkswagen Insurance Plan (VIP) iaitu AXA Affin General Insurance Berhad. Affin menyertai rakan insurans sedia ada VIP seperti Allianz General Insurance Berhad, Etiqa General Takaful Berhad dan Zurich Takaful General Insurance Berhad.

Sebagai pemegang polisi VIP, antara manfaat yang bakal diterima termasuklah keutamaan untuk kelulusan tuntutan dan bantuan tepi jalan dengan tundaan kecemasan 24 jam. Tidak terkecuali, jaminan kerja-kerja pembaikan hanya dilakukan di pusat badan dan cat Volkswagen yang sah, serta mematuhi standard baik pulih Volkswagen yang menggunakan alat ganti tulen sahaja.

Bukan itu sahaja, ia juga tiada yuran lebihan, kos penambahbaikan dan nilai diinsuranskan mengikut persetujuan untuk kenderaan yang berusia sehingga 10 tahun. Semua ini terpakai pada semua model Volkswagen tanpa mengira usia kereta tersebut.

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my

Google ads
Back to top button