Buletin

FOTO PERSONA MC2 TERDEDAH. LAMPU LED, SKRIN INFOHIBUR TERAPUNG, ADA PEREHAT TANGAN!

Sebelum ini, timbul foto spyhot Proton Iriz versi crossover yang katanya akan diberi nama Iriz Active. Kini muncul pula gambar sebenar Proton Persona MC2 tanpa sebarang pelekat penyamaran. 

Tiga keping foto yang dikongsi oleh laman web pemotoran bahasa Cina, Automachi itu menunjukkan sedan berkenaan menerima beberapa perubahan ketara. Persona sememangnya sangat memerlukan penambahbaikan, memandangkan model yang ada sekarang sudah begitu lama ada di pasaran tanpa sebarang spesifikasi menarik. 

Sekali pandang, dapat dilihat perubahan pada lampu utama yang sudah ditukar kepada jenis LED, menggantikan mentol biasa sebelum ini. Logo Proton pada gril Infinite Weave berwarna hitam yang biasanya berbentuk empat segi tajam kini menjadi bulat. Sementara rekaan banmpar hadapan baharu didatangkan bersama sepasang lampu nyalaan siang LED. 

Sedia maklum bahawa jika dilihat dari arah sisi, perkadaran Persona bukanlah yang terbaik dalam kelasnya. Rim yang digunakan selama ini memang nampak kecil daripada badan. Kini, kekurangan tersebut cuba dibaiki apabila Proton menggunakan rekaan rim bersaiz lebih besar (16 inci). 

Perubahan paling ketara ialah pada ruang kabinnya. Anda mesti perasan dengan skrin infohibur jenis terapung yang dipasang di atas corong pendingin hawa itu. Butang kawalan pendingin hawa juga baharu. 

Tempat duduknya dibalut dengan kulit berwarna coklat agar kelihatan lebih mewah. Sama seperti luarannya, logo pada stereng berbentuk bulat. 

Satu lagi perkara yang wajar dinyatakan ialah Persona MC2 didatangkan dengan perehat tangan pada konsol tengah. 

Memetik laporan Funtasticko, Iriz Active akan ditawarkan dengan tiga mode pemanduan iaitu Normal, Sport dan Eco. Manakala Ciri Brake Intensity Manager pula membolehkan pemandu berhenti tanpa perlu menukar gear kepada Neutral di lampu isyarat. – Careta, Funstasticko, Automachi

Google ads
Back to top button