Buletin

VW BEETLE FACELIFT

Volkswagen Group Malaysia (VGM) hari ini mengumumkan penawarkan model ikonik Beetle yang telah ditambah baik. 

VW-Beetle-facelift-mekanika (7)

“Terima kasih kepada reka bentuknya yang tidak ditelan zaman serta teknologi yang terus berkembang maju secara konsisten, Beetle sememangnya sebuah kereta yang melangkaui gender, kelas dan latar belakang,” kata Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller.

Model ini ditawarkan menerusi dua varian iaitu Beetle 1.2l TSI Design dan Beetle 1.2l TSI Sport. Aspek mekanikal kedua-duanya bagaimanapun tidak berubah. Ia masih menggunakan khidmat unit enjin pancitan terus bahan api dengan sistem pengecas turbo 1.2l TSI yang dipadankan dengan kotak gear Direct Shift Gearbox (DSG) tujuh kelajuan.

VW-Beetle-facelift-mekanika (6)

Enjin turbo ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 105PS dan tork 175Nm di antara 1,550 dan 4,100rpm. Kuasa itu membolehkan kereta ini mencapai kelajuan 100km/j dalam tempoh 10.9 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 180km/j.

Di sebalik prestasi pecutan yang mengagumkan itu, kumbang klasik ini masih mampu menawarkan penggunaan bahan api yang menjimatkan iaitu  5.9 liter/100km (atau 16.9km/liter) untuk gabungan pemanduan di bandar dan lebuh raya.

Menjenguk ke dalam kabin, karekter sebuah kereta kumbang klasik dikekalkan. Ia dapat dilihat melalui ruang penyimpanan barang (glove box), pad papan pemuka dicat dengan warna badan, perehat tangan pada bahagian hadapan, tuil gear dibalut kulit serta stereng yang dilengkapi butang kawalan untuk Paparan Multi Fungsi (MFD), radio dan telefon.

VW-Beetle-facelift-mekanika (5)

Model 1.2l TSI Design hadir bersama sistem radio RCD 310 dengan pemain CD tunggal, ketersambungan Bluetooth, kabel adapter USB dan lapan unit pembesar suara.

Sementara varian Beetle 1.2l TSI Sport pula dilengkapi dengan lebih banyak ciri seperti sistem radio RCD 510 yang terdiri daripada paparan skrin sentuh bersama enam penukar CD, kabel adapter USB, slot kad SD, ketersambungan Bluetooth dan lapan unit pembesar suara.

Tempat duduknya pula dibalut  dengan upsholsteri kulit “Vienna”. Bukan itu sahaja, Beetle juga dilengkapi  sokongan lumbar, sistem pendingin hawa  ‘Climatronic’ dengan kawalan  suhu dua zon, paddle shift dan kawalan jelajah (cruise control).

VW-Beetle-facelift-mekanika (2)

Penampilan Beetle diserlahkan dengan lampu utama jenis Bi-Xenon dan lampu nyalaan siang (DRL) LED (untuk varian 1.2l TSI Sport sahaja); lampu sisi dengan pemanas yang boleh dilipat dan diubah suai secara elektronik; lampu kabus dengan lampu membelok statik serta  rim aloi ‘Whirl’ bersaiz 16 inci yang dibalut oleh tayar bersaiz 215/60 R16.

Sama seperti semua kenderaan Volkswagen, aspek keselamatan pemandu dan penumpang sentiasa menjadi keutamaa. Beetle telahpun memperoleh penarafan lima bintang dalam ujian Euro NCAP. Antara ciri baharu pada Beetle ini ialah sistem penggera anti-kecurian dengan sistem pelumpuh enjin elektronik yang pastinya menawarkan perlindungan maksimum daripada risiko dicuri.

Selain itu, kereta ini juga dipasang dengan tali pinggang keledar tiga poin dengan peregang, perehat kepala pada tempat duduk hadapan yang telah dioptimumkan tahap keselamatannya, beg udara sisi dan bahagian dada untuk penumpang hadapan dan pemandu. Beg udara untuk penumpang hadapan juga boleh dinyahaktifkan. 

VW-Beetle-facelift-mekanika (4)

Beetle turut dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS), brake assist (BA), electronic stability control (ESC), peranti imobilisasi kenderaan elektronik, hill-hold control, park distance control (PDC) serta cagak untuk tempat duduk kanak-kanak (ISOFIX).

Beetle didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu putih (Candy White), merah (Tornado Red), kuning (Saturn Yellow), coklat (Toffee Brown) dan hitam (Deep Black). Ia sudah dibuka untuk tempahan di semua pengedar Volkswagen di Semenanjung Malaysia.

Beetle 1.2l TSI Design ditawarkan pada harga RM131,888 seunit, manakala 1.2l TSI Sport pula berharga RM142,888.  

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button