,
Buletin

VW JUAL PENGECAS ELEKTRIK UNTUK SEMUA, HARGA DARI RM1.8K SAHAJA

Satu isu tentang penerimaan kenderaan elektrik (EV) ialah tentang kemudahan pengecasan. Jika pemilik kenderaan petrol dan diesel boleh membuat isian di mana-mana stesen minyak, bagaimana pula dengan EV?

Kemudahan pengecasan adalah isu penting dalam menggalakkan lebih ramai pengguna memiliki EV dan Volkswagen melihat ini sebagai peluang dengan melancarkan Pengecas ID.

Pengecas yang dipasang pada dinding tersebut tidak eksklusif kepada kenderaan VW sahaja malah dijual kepada pengguna tidak mengira jenama kereta.

Selain menggalakkan lebih ramai pengguna memilih EV, VW juga mahu pengangkutan elektrik menjadi mampu milik untuk kebanyakan orang.

Pelancaran ini juga sempena pengenalan EV terbaru VW iaitu ID.3. VW memang serius dengan EV dan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang mahu melancarkan hampir 70 buah model elektrik baharu.

Pengecas dinding ID mempunyai kapasiti sehingga 11 kW dan mampu mengecas lima kali lebih pantas berbanding soket elektrik rumah. Sebagai contoh, bateri ID.3 dengan bateri 58 kWh boleh dicas penuh sekitar enam jam sahaja.

Harga pelancaran juga berpatutan bermula dari EUR€399 (RM1,832). VW menjangkakan hampir separuh operasi pengecasan EV akan dibuat di rumah dan selari dengan pelancaran pengecas ID ini.

VW bakal melancarkan tiga model ID dengan perbezaan utama pada fungsi digital yang ditawarkan. Ketiga-tiga model boleh dipesan melalui internet atau pengedar VW pada penghujung November ini.

Berikut ialah tiga model pengecas ID yang ditawarkan VW:

ID. Charger – Model paling asas yang dijual pada harga EUR€399 (RM1,832). Menggunakan kabel Type 2 dan mempunyai kapasiti pengecasan sehingga 11 kW.

ID.Charger Connect – Pengecas jenis digital dan pintar. Boleh disambungkan ke rangkaian rumah dan telefon pintar melalui WLAN atau LAN. Pengguna juga boleh memilih sambungan LTE dengan cas tambahan.

Melalui sambungan tersebut, pengguna boleh mengawasi operasi pengecasan dan pelbagai lagi fungsi melalui aplikasi. Harga pelancaran bermula dari EUR€599 (RM2,751).

ID.Charger Pro – Model teratas dalam siri ID dan lengkap dengan integrasi meter elektrik untuk kadar bil setiap kilowatt jam selain daripada fungsi digital dan modul LTE.

Kemudahan bacaan bil ini sangat berguna kepada pemilik atau pemandu kereta syarikat dan majikan mereka. Harga pengecas premium ini ialah EUR€849 (RM3,899) dan ia termasuk kos data LTE seumur hidup untuk pengecas dinding.

Membaca kemajuan tentang perancangan dan gerakan EV di Eropah membuatkan penulis berfikir, apakah wawasan pihak kerajaan dalam bidang ini dan bilakah kita akan bermula dengan serius?

BACA: KERETA DIESEL VOLKSWAGEN – DULU TERBIAR, KINI LAKU MACAM GORENG PISANG PANAS

BACA: VOLKSWAGEN AKAN HASILKAN TRAK PIKAP AMAROK DENGAN FORD

BACA: TAHUKAH ANDA KOTAK GEAR DSG VOLKSWAGEN SUDAH BERUSIA 15 TAHUN?

Tags
Google ads
Back to top button