,
Artikel Pilihan

KISAH ENJIN K24 NA 500HP HASIL AIR TANGAN 4PISTON

Salah satu nikmat main kereta ni ialah bila mendengar bunyi yang dihasilkan oleh enjin NA pada putaran tinggi. Bunyinya sangat-sangat menggetarkan jiwa dan memang tak akan boleh dinikmati oleh mereka yang mereka yang membeli kereta semata-mata nak pergi ke tempat kerja dan mesti jimat minyak. Ia jauh berbeza dari bunyi letupan mercun yang keluar dari corong ekzos Y suku milik anak bujang Kak Senah depan rumah Pok Ya.

Ini cerita tentang bagaimana sejumlah 500 hp kuasa yang berjaya diperah dari enjin K24 yang pada asalnya mampu menjana 205 hp dalam keadaan standard. Enjin ini merupakan hasil talaan 4Piston yang memang pakar dalam naik taraf enjin K-series.

Luke Wilson dan Josh Klein adalah pembina enjin sejati. Mereka sudah menaik taraf enjin B-series dan K-series hampir berdekad lamanya dan tahun bagaimana untuk membuatkan enjin-enjin ‘berlagu’. Walaupun ramai peminat yang sudah berhijrah ke mazhab turbo tapi kami yakin masih ramai lagi yang setia dengan enjin NA.

Dua matlamat utama mereka sejak sekian lama ialah untuk mencapai tahap 500 hp dan RPM maksima 10,000. Itulah sasaran utama setelah bertahun-tahun menaik taraf enjin K24. 4Piston sendiri menawarkan enjin K440 talaan mereka untuk kegunaan perlumbaan drag. Ia merupakan sebuah enjin 2.5L dengan nisbah mampatan 15:1 yang dikuasakan dengan alkohol dan mampu menghasilkan 400 hp kuasa.

Setelah menetapkan sasaran mereka memulakan projek untuk mempertingkatkan lagi kuasa enjin tersebut ke tahap 500 hp kuasa maksima. Mereka mendapat bantuan dari seorang lagi rakan sepasukan, Matt Monday. Rancangan tersebut melibatkan blok enjin K24, kepala selinder dan nisbah mampatan 16:1, cuma ia akan dipertingkatkan sedikit lagi untuk mendapatkan kuasa yang diingini.

Enjin K24 asal mempunyai sesaran 2.4L tetapi Wilson dan Klein tahu lebih besar semestinya lebih baik (jangan fikir ke lain okey). Jadi kedua-dua bahagian gerek dan lejang dipertingkatkan lagi sehingga enjin ini mencapai sesaran 2,687 cc.

Satu perkara yang pasti ialah berat memainkan peranan yang sangat penting bila anda berhasrat mencapai RPM yang tinggi. Projek dimulakan dengan piston dan kombinasi rod. Wilson memulakan dnegan piston-piston tempa buatan Wiseco 2618 dengan berat setiap satunya sekitar 265 gram.

Untuk enjin spesifikasi drag, apa saja yang anda lakukan bagi mengurangkan geseran piston akan memberikan tambahan kuasa kuda pada enjin anda dan Wiseco menawarkan pakej 2-ring piston yang menghapuskan ring ditengah-tengah untuk mengurangkan seretan dan memastikan dinding selinder bersih dari lebihan pelincir.

Piston juga disadur dengan saduran Wiseco Armorglide untuk mengurangkan seretan begitu juga dengan bukaan injap. Akhir sekali bahagian kebuk pembakaran juga disadur dengan ArmorCoat. Tapi aspek lain yang cukup penting ialah rekaan piston mesti mampu menahan bebanan pada kelajuan enjin yang ekstrim. Walaupun piston yang digunakan hanya seberat 265 gram tetapi ia bermakna wrist pin mesti menahan bebanan 1,000 pound pada putaran enjin 10,000 RPM. Untuk itu wrist pin itu sendiri sudahpun disadur dengan DLC (diamond-like-coating) untuk menahan bebanan yang lebih.

Berat memang menjadi fokus utama dengan enjin RPM tinggi jadi Wilson biasanya menggunakan billet crank yang mempunyai berat sekitar 39 pound. Tapi 4Piston mahukan  sesuatu yang lebih baik dan mereka memproses sendiri komponen tadi sehingga mencapai berat 33 pound. Mereka sudah berpengalaman melakukan perkara yang sama pada enjin supercharged 725 hp dan ia berfungsi tanpa sebarang masalah.

Selain daripada itu kekuatan dan ketahanan memang sangat penting bagi enjin seperti ini. Kepala selinder saja memerlukan aliran udara yang tinggi untuk memenuhkan selinder sekitar 83 kali per saat. Wilson dan Klein sudah melakukan penyelidikan kepala selinder mereka sendiri selama hampir 20 tahun dan hasilnya memang sangat menakjubkan.

Bahagian valvetrain turut diberi perhatian kerana ia mesti tahan lasak dan kalis gagal. Ia juga mesti mampu menggerakkan injap-injap terseut pada kelajuan enjin yang tinggi. Injap-injap titanium Ferrea menjadikan pilihan dan untuk bahagian camshaft, Wilson memilih Skunk2.

Selepas semua proses naik taraf selesai, ujian dyno dimulakan dan hasilnya 4Piston berjaya melepas tahap 500 hp dengan catatan tertinggi 519 hp pada 9,400 RPM. Tork maksima pula ialah 402 Nm pada 8,600 RPM manakala tork setinggi 379 Nm berjaya dikekalkan pada kelajuan enjin 6,800 hingga 9,600 RPM. Ia sangat menakjubkan dan membolehkan kereta yang dilengkapi enjin ini bergerak sangat laju.

Jadi Luke Wilson dan sekutunya di 4Piston berjaya membuktikan yang kerja penuh ketelitian dan penggunaan komponen yang  tepat akan meningkatkan lagi potensi enjin NA. Ia sentiasa berkisar kepada aliran udara dan RPM.

Spesifikasi Enjin

Honda K24A1 dari Honda CRV
Blok produksi dengan LA Sleeve Ductile Iron liners
Bore – 90mm = 3.543 inci
Stroke – 106mm = 4.173 inci
164ci, 2687cc or 2.7L
Winberg crankshaft
GRP splayed beam aluminum con rod, 6.125-inci panjang, 340 gram
Wiseco 90mm bore, 265 gram, 2 ring billet piston dengan hard anodizing
Top Ring:  0.043-inci, Oil Ring: 0.143-inci
DLC coated wrist pin
ACL Race Bearings
Kepala selinder 4 Piston Peacemaker
Ferrea 1.510” Titanium intake valves 
Ferrea 1.181” Titanium exhaust valves
4 Piston PSI Pro Stock single valve spring kit
Ferrea valve locks
Ferrea 4P RR8000 rocker arms
Skunk2 BMFx custom Camshafts
Dailey Engineering dry sump
Kinsler 71.5mm (2.81-inches) individual throttle bores
Myers Competition header, 2.00-2.125-2.250-inci
Moroso oil pan
ECU Motec M130
VP M5 methanol fuel 

Tags
Google ads
Back to top button