" "
Buletin

WARGANET TERHIBUR GENG BASIKAL LAJAK KENA KETUK KETAMPI

Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan sekumpulan remaja didenda ketuk ketampi oleh anggota polis trafik nyata mencuit hati warganet.

Menerusi rakaman video itu, kelihatan lebih 20 remaja lelaki dipercayai bawah umur diarah melakukan hukuman itu sambil diperhatikan oleh beberapa anggota polis trafik.

Lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, namun dipercayai berlaku di ibu kota berdasarkan latar belakang dalam rakaman video.

Kumpulan remaja itu dipercayai ditahan kerana menunggang basikal lajak dan turut kelihatan barisan basikal lajak disusun di belakang mereka.

Situasi yang jarang berlaku itu turut diambil kesempatan oleh orang ramai yang berada berhampiran untuk turut menonton serta merakam momen berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan warganet menyokong tindakan anggota polis trafik memberi hukuman sebagai pengajaran selain menyifatkan denda berkenaan sebagai ‘hukuman yang comel’.

Menerusi ruangan komen, seorang pengguna Instagram, hj_hannahh menulis “Comel je denda dari polis pun. Nak saman kesian, budak-budak.”

Ismaliza Ismail pula menulis “Ha merayap lagi malam-malam. Semoga jadi anak-anak yang baik berjaya dunia dan akhirat #tapicomeysangat.”

“Takpe dik, kenangan ni. Jadikan ianya satu hal yang boleh mengubah awak lebih baik lepas ini,” kata Puan Maz.

“Hah kan dah kena, comel pulak kena macam tu,” kata Noor Erni Shakila Salim.

Sementara itu, Sidah Rosidah pula menulis, “Polis memang terbaik, dah macam ayah dengan anak atau cikgu kepada anak-anak murid. Semoga anak-anak muda ini sentiasa dijauhi dari bahaya.”

Pada sambutan ambang tahun baharu 2025 di ibu negara, malam tadi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menjalankan operasi dan pemantauan di sekitar ibu kota sehingga awal pagi.

Operasi dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan serta aktiviti yang menyalahi undang-undang. – Harian Metro

Google ads
Back to top button