Buletin

WRC 2018 RALI SWEDEN – GILIRAN THIERRY NEUVILLE UNTUK MUNCUL JUARA

Pelumba Belgium, Thierry Neuville yang memandu Hyundai i20WRC berjaya mengejutkan pelumba handalan lain apabila berjaya menjuarai Rali Sweden yang telah berlangsung minggu lepas. Kejayaan ini boleh dianggap mengejutkan buat pasukan Hyundai Shell Mobis WRT.

BACA : WRC 2018 MONTE CARLO – SEBASTIAN OGIER MUNCUL JUARA

BACA : HYUNDAI KINI DI TEMPAT KEDUA PENGELUAR WRC 2017 SELEPAS M-SPORT!

Sesungguhnya berlumba dalam hutan yang bersalji bukanlah sesuatu yang mudah buat Neuville yang berjaya muncul pelumba pertama Bukan Nordic untuk menjuarai Rali Sweden. Tahun lalu di Rali Sweden mengalami kekecewaan apabila mengalami kemalangan. Dan kali ini Neuville berjaya menebus kembali dosa menjahanamkan jentera secara tidak sengaja dengan memenanginya pula tahun ini.

Bertambah menarik, sebuah lagi jentera Hyundai i20 yang dipandu oleh  Andreas Mikkelsen berjaya menduduki podium ketiga sekaligus memberikan mata yang cukup penting bagi kategori pasukan. Manakala pelumba ketiga pasukan, Hayden Paddon turut mencatat kejayaan yang agak membanggakan di tempat kelimat keseluruhan.

Dan ini cukup menggembirakan Pengurus Pasukan Michel Nandan setelah menyaksikan kegagalan pasukannya di Monte Carlo tempohari. Kutipan mata daripada pelumba mereka cukup untuk memberikan kelebihan Hyundai untuk mendahului pungutan mata keseluruhan di hadapan pasukan Toyota.

Turut mencipta kejutan di podium kedua adalah pemandu dari Citroen Total Abu Dhabi WRT, Craig Breen dari Ireland. Agak lama juga kereta Citroen ini tenggelam dalam saingan WRC sejak akhir-akhir ini.

Breen pula berjaya memintas Mikkelsen setelah pemandu Norway tersebut berpusing pada lokasi yang sama Neuville mengalami kemalangan tahun lepas. Dan Breen terus mengekalkan posisi kedua dengan kelebihan 8.5 saat.

Jika ada yang bertanya, apa nasib pasukan Toyota Gazoo Racing yang begitu garang pada perlumbaan pertama tempoh hari, nampaknya Yaris WRC ini barangkali tidak begitu serasi apabila digandingkan dengan hutan bersalji.  Jari-Matti Latvala hanya mampu menduduki tempat ketujuh.

Begitu juga dengan nasib pemenang Rali Monte Carlo, Sébastien Ogier terpaksa akur sekadar di tempat kesepuluh. Rezeki sekadar mengutip mata sahaja. Jadilah kan.

Setelah tamat pusingan di Sweden, pusingan ketiga bakal berlangsung di Mexico dengan permukaan aspal sepenuhnya pada awal minggu Mac nanti.

 

Google ads
Back to top button