Buletin

WRC 2019 – OTT TÄNAK MELAKUKAN HATRIK DI JERMAN

Pelumba pasukan Toyota Gazzo, Ott Tanak sekali lagi melakukannya di Jerman pula untuk memenangi perlumbaan pusingan ke sepuluh dalam kalendar WRC 2019 pada hujung minggu sudah. Kejayaan ini merupakan yang keempat daripada lima pusingan yang dilangsung pada permukaan aspal. Dah boleh tabal Raja Aspal lepas ni si Ott Tanak ni.

Pelumba kelahiran Estonia ini ternyata cukup ampuh apabila beraksi di bumi Jerman. Untuk rekod, Ott Tanak adalah penyandang kejuaraan di Jerman semenjak tahun 2017 lagi apabila memenanginya buat pertama kali bersama Ford Fiesta WRC. Dan penguasaan beliau sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila kekal konsisten mendahului perlumbaan sejauh 344 km ini meliputi 19 Special Stages. Cuma ketika di SS 10/11, kelihatan pemandu Hyundai, Thierry Neuville seakan dapat memberikan saingan sengit kepada Ott Tanak. Tapi cerita selebihnya adalah milik pemandu Toyota tersebut.

Sebenarnya, lebih manis kemenangan pasukan Toyota Gazoo Racing ini adalah apabila mereka berjaya menyapu bersih podium kemenangan apabila Kriss Meeke dan Jari-Matti Latvala berjaya menduduki tempat kedua dan ketiga keseluruhan perlumbaan di Jerman. Prestasi ketiga – tiga pelumba pasukan Toyota ini boleh dianggap membanggakan apabila perbezaan jarak masa antara satu sama lain tidaklah ketara sangat lebih kurang 15 saat – 20 saat sahaja.

Manakala Thierry Neuville akur berada di posisi kelima keseluruhan di belakang rakan sepasukan, Danial Sordo yang berada di tempat keempat. Setidaknya, beliau masih lagi berupaya mengutip mata berharga dan terus kekal bersaing dalam perebutan kejuaraan WRC musim ini.

Manakala pelumba handalan Citroen, Sebastian Ogier pula hanya berpuas hati untuk berada di tempat kelapan keseluruhan perlumbaan. Sebetulnya, beliau dan Thierry Neuville mengalami tayar pancit ketika melalui ujian di Panzerplatte. Seorang lagi pelumba Jepun yang memandu Toyota Yaris WRC, Takamoto Katsuta turut mengalami masalah tayar pancit ketika melalui Panzerplatte. Mujur juga beliau berupaya menghabiskan perlumbaan untuk berada di tempat kesepuluh keseluruhan. Kira handal jugalah selaku Pemandu Pembangunan untuk Toyota ni kan.

Sebetulnya Panzerplatte ini merupakan laluan ujian untuk Kereta Kebal. Maka sudah tentu bentuk muka bumi laluannya sudah boleh dibayangkan betapa mencabarnya. Laluan aspal yang pecah serta permukaan konkrit yang berliku pasti memberikan kesan terhadap geseran yang teruk buat tayar buatan Michelin.

Dengan saingan berikutnya bakal berlangsung di Turki pada pertengahan September nanti, saingan pastinya tertumpa ke arah Ott Tanak sama ada beliau mampu mengekalkan prestasi cemerlang apatah lagi ditambah dengan moral dan motivasi untuk menang semakin meninggi.

Kedudukan Pelumba

  1. Ott Tanak – 205 Mata
  2. Thierry Neuville – 170 Mata
  3. Sebastian Ogier – 160 Mata

Kedudukan Pembuat

  1. Hyundai Shell Mobis – 289 Mata
  2. Toyota Gazoo Racing – 281 Mata
  3. Citroen Total – 216 Mata

BACA : WRC 2019 – OTT TANAK CEMERLANG DI FINLAND

BACA : INI TOYOTA YARIS UNTUK WRC 2019 – KIT BADAN SEPERTI PESAWAT TEMPUR

Google ads
Back to top button