Buletin

PETRON ANJUR PROGRAM KESELAMATAN JALAN RAYA YANG PERTAMA DAN TERBESAR DI SABAH

Petron Malaysia baru-baru ini telah mengadakan sesi ceramah dan demonstrasi kesedaran keselamatan jalan raya kepada 1,000 orang pelajar sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Telipok di Sabah yang menjadi sebahagian daripada program Keselamatan Jalan Rayanya.

Ini merupakan kali pertama Petron Malaysia membawa program tersebut ke Sabah. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dalam mengenal pasti titik-titik buta yang ada pada kenderaan besar terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

“Program Keselamatan Jalan Raya ini ialah salah satu kempen Petron yang paling lama dan penting sejak tahun 2013. Program ini bertujuan mengajar teknik pemanduan dan menunggang yang selamat kepada pengguna jalan raya yang muda. 

“Kami juga mahu mereka mengamalkan langkah keselamatan jalan raya dengan menekankan bahawa semua kemalangan jalan raya dapat dicegah,” kata Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron, Lokman Hani.

Mengetahui betapa pentingnya pengenalpastian titik-titik buta pada kenderaan, Petron Malaysia menjemput pakar industri serta wakil dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), BOMBA dan Institut Memandu IMW Sabah. 

IMW memberi taklimat kepada pelajar mengenai pemeriksaan kenderaan dan ciri-ciri keselamatan penting yang mudah. BOMBA pula menunjukkan cara yang betul untuk memadamkan api dan mempamerkan jenteranya. 

Bagi memastikan pelajar lebih memahami titik-titik buta dan mengurangkan risiko kemalangan, Petron menggunakan lori minyaknya untuk menunjukkan pelbagai zon titik buta yang ada pada kenderaan panjang dan besar. 

Dalam program yang sama, Petron juga mengedarkan 50 abah-abah keselamatan reflektif kepada para pelajar sebagai peringatan untuk sentiasa memperhatikan persekitaran mereka.

Kemalangan jalan raya masih menjadi punca utama kematian dalam kalangan belia terutamanya penunggang motosikal dan pejalan kaki.

Menurut JKJR pada tahun 2018, 705 kemalangan jalan raya telah membabitkan 16 kematian di Tuaran, menjadikannya bandar kemalangan yang ketujuh tertinggi di negeri ini. 

Sementara Kota Kinabalu menjadi antara bandaraya yang mempunyai statistik kemalangan jalan raya tertinggi di Sabah dengan 6,025 daripada 18,006 kemalangan telah dilaporkan pada tahun lalu.

JKJR turut mengulas SMK Pekan Telipok telah dipilih di kalangan sekolah-sekolah lain di Sabah kerana sekolah itu terletak di Telipok, sebuah bandar yang terletak di antara Tuaran dan Kota Kinabalu dengan dua jalan raya utama lebuh raya yang menghubungkan antara Zon Utara dan Pantai Barat Sabah.

Ibu bapa di Telipok juga cenderung untuk menghantar anak mereka ke sekolah di Kota Kinabalu yang menjadikan keadaan sekolah sangat sibuk, menambahkan lagi risiko di jalan raya.

“Keselamatan jalan raya memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan tingkah laku orang muda untuk memastikan mereka menjadi pengguna jalanraya yang bertanggungjawab. Sangat penting bagi mereka untuk menyedari ini dari awal. 

“Kesedaran tentang halangan jalan raya dan mengetahui panduan memandu seperti menggunakan lampu isyarat, menukar lorong, mengenal pasti titik-titik buta dan memotong kenderaan besar mungkin memberi cabaran kepada pemandu baru dan tidak berpengalaman. 

“Tetapi mengetahui perkara ini dari awal dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka dan orang lain,” tambah Lokman.

Sehingga kini, Program Keselamatan Jalan Raya Petron telah memberi manfaat kepada hampir 3,000 pelajar dari 25 sekolah di Negeri Sembilan, Johor Kuantan, dan Kedah termasuk Sabah.

Program Keselamatan Jalan Raya Petron adalah selaras dengan objektif United Nations Decade of Action for Road Safety 2011-2020, sebuah advokasi global yang menggalakkan pemanduan yang selamat melalui pematuhan undang-undang lalu lintas yang ketat, penggunaan tali pinggang keledar, pemakaian topi keledar yang sesuai untuk penunggang motosikal dan sebagainya. 

Google ads
Back to top button