Buletin

WRC 2019 – HARAPAN SEBASTIAN OGIER KEMBALI MENYALA DI RALI TURKI

Harapan pelumba handalan Perancis yang juga penyandang juara WRC 2018, Sebastian Ogier untuk kembali bersaing merebut tahta musim 2019 kembali bernyala apabila berjaya memenangi perlumbaan di Turki. Bagi Sebastian Ogier sendiri, sebelum lagi perlumbaan bermula beliau telah menyatakan bahawa hanya kemenangan sahaja mampu menghidupkan kembali harapannya untuk kembali memenangi kejuaraan WRC buat kali ketujuh berturut turut apatah lagi saingan cuma berbaki tiga pusingan sahaja selepas ini.

Pelumba pasukan Citroen itu kembali memenangi podium setelah kali terakhir melakukannya pada bulan Mac yang lalu. Menariknya tentang kejayaan di Turki kali ini, pasukan Citroen turut berjaya memenangi podium 1-2 apabila seorang lagi pelumba Esapekka Lappi turut berjaya melakukannya. Sebastian Ogier berjaya meninggalkan Esapekka Lappi dengan kelebihan 34.7 saat. Yang pasti, Sebastian Ogier menampilkan aksi yang lebih konsisten bersama C3 WRC apabila berjaya mendahului saingan sungguhpun cuba dicabar hebat oleh rakan sepasukan beliau. Keputusan ini sudah tentu cukup melegakan buat Sebastian Ogier untuk merapatkan jurang pungutan mata setelah sebelum ini Ott Tanak memenangi perlumbaan berkali – kali.

Tempat ketiga pula berjaya diraih pelumba Hyundai Andreas Mikkelsen yang memandu Hyundai i20 WRC dengan ketinggalan 1.04 saat berbanding Sebastian Ogier. Kemenangan ini sudah tentu sedikit sebanyak melegakan pasukan Hyundai Shell Mobis Rally Team dari segi pungutan mata bagi kategori Pembuat. Buat masa ini, mereka masih lagi mendahului meninggalkan pasukan Toyota Gazoo.

Manakala nasib malang menimpa buat pendahulu pungutan mata, Ott Tänak apabila kereta Yaris WRC beliau mengalami kerosakan pada ECU sewaktu SS8 dan terpaksa menarik diri untuk baki saingan pada hari Sabtu. Walaupun berupaya untuk kembali ke trek bagi menghabiskan saingan pada hari Ahad, beliau akur untuk hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke 16 keseluruhan. Sudah tentu keadaan ini membuatkan pelumba Estonia ini harus memenangi perlumbaan untuk baki saingan bagi memastikan impian menjuarai WRC musim ini tercapai.

Perlumbaan berikutnya bakal berlangsung di Wales pada awal bulan Oktober nanti dengan Sebastian Ogier akan menjadi perhatian kerana beliau pernah memenanginya sebanyak lima kali sebelum ini.

Kedudukan Mata Pelumba

  1. Ott Tanak – 210 Mata
  2. Sebastian Ogier – 193 Mata
  3. Thierry Neuville – 180 Mata

Kedudukan Mata Pembuat

  1. Hyundai Shell Mobis World Rally Team – 314 Mata
  2. Toyota Gazoo Racing WRT – 295 Mata
  3. Citroen Total WRT – 259 Mata

BACA : WRC 2019 – OTT TANAK MELAKUKAN HATRIK DI JERMAN

BACA : WRC 2019 – SEBASTIAN OGIER MENANG DI MEXICO

Google ads
Back to top button