Buletin

WRC 2024 – SAMI PAJARI SEKALI LAGI AKAN MEMANDU TOYOTA GR YARIS RALLY1 UNTUK DUA PERLUMBAAN

Pemandu muda rali dari Finland, Sami Pajari sekali lagi akan berpeluang untuk memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1 Hybird untuk dua lagi perlumbaan baki musim ini susulan daripada persembahan cemerlang dalam debut beliau sebelum ini dalam kempen FIA World Rally Championship (WRC).

Pasukan Toyota Gazoo Racing telah mengesahkan bahawa Sami Pajari, yang akan berpasangan bersama Juruarah Enni Mälkönen, akan bersaing di Rally Chile Bio Bío pada 26 – 29 September dan Central European Rally pada 17 – 20 Oktober. Di Chile, Sami Pajari yang berusia 22 tahun akan menggantikan tempat duduk milik pemandu JepunTakamoto Katsuta. Walau bagaimana pun kedua-dua mereka akan mengambil bahagian dalam perlumbaan Central European Rally.

Peluang untuk Sami Pajari melangkah ke kelas utama dibuktikan melalui persembahan yang cemerlang dalam kelas WRC2 dengan memandu jentera Toyota GR Yaris Rally2 sepanjang musim ini apabila berjaya menaiki podium beberapa kali.

Ketika beraksi di Secto Rally Finland dengan memandu Toyota GR Yaris Rally1 Sami Pajari berjaya meraih kemenangan untuk peringkat serta berjaya menamatkan di tempat kelima keseluruhan dengan persembahan yang cukup memukau peminat dan sudah tentunya pasukan Toyota Gazoo Racing sendiri.

Untuk pembabitan dalam perlumbaan di Central European Rally, ianya telah diatur dengan kerjasama membabitkan WRC Promoter sebagai salah satu usaha mereka untuk menyokong bakat baharu yang berbukti bakatnya sebagai langkah untuk meneruskan ke kelas utama WRC.

“Ianya amat menakjubkan untuk berpeluang memandu GR Yaris Rally1 Hybrid untuk dua lagi perlumbaan musim ini. Ianya bagus untuk mengetahui bahawa TGR-WRT memberi kepercayaan kepada saya,” ujar Sami Pajari.

Prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing, Jari-Matti Latvala pula percaya dua perlumbaan berikutnya akan memberikan pengalaman yang berharga buat Sami Pajari sementelah pasukan dari Jepun ini juga bercadang untuk mencari barisan pemandu mereka di masa akan datang.

Menurut Jari-Matti Latvala lagi, mereka sememangnya mahu melihat apa lagi yang boleh diberikan oleh Sami Pajari untuk perlumbaan membabitkan permukaan batu kerikil dan aspal untuk dua perlumbaan berikut tetapi dalam masa yang sama tidak mahu memberikan tekanan dengan hanya memberikan status sebagai pemandu jentera keempat sahaja.

Takamoto Katsuta akan direhatkan seketika bagi membolehkan pemandu Jepun ini mencari semula rentak yang diperlukan. Takamoto Katsuta masih lagi akan diberikan sokongan yang sepatutnya memandangkan beliau masih lagi mempunyai kelajuan yang diperlukan cuma barangkali nasib sahaja tidak menyebelahi untuk mencari penamat podium.

Khidmat Takamoto Katsuta pasti akan ditagih habis – habisan untuk perlumbaan terakhir di Jepun bagi sekali lagi mencari podium di halaman sendiri.

BACA : LIMA BUAH TOYOTA GR YARIS RALLY1 AKAN BERAKSI DI FINLAND DENGAN SAMI PAJARI AKAN MEMBUAT DEBUT

BACA : TAKAMOTO KATSUTA – MAMPUKAH BELIAU MENCABAR KEJUARAAN WRC MUSIM 2024 NANTI?

Google ads

B K

Back to top button