Buletin

BUKAN SEBAB KESEDARAN JAGA ALAM SEKITAR, FOMO JADI DORONGAN BELI EV?

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat perhatian, termasuk di negara jiran, Indonesia.

Namun, menurut pengamat automotif, Yannes Martinus Pasaribu, kebanyakan rakyat Indonesia membeli EV lebih kerana mengikuti trend gaya hidup, bukannya atas kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

Fenomena FOMO (Fear of Missing Out) dilihat sebagai pendorong utama di sebalik pembelian EV, di mana ramai yang membeli kerana tidak mahu ketinggalan.

Menurut Yannes, kebanyakan pembeli menjadikan EV sebagai kenderaan kedua, sementara kenderaan utama mereka masih menggunakan bahan bakar fosil.

“EV ini masih dianggap sebagai simbol status, bukan satu keperluan,” kata Yannes.

Oleh itu, model kenderaan elektrik lebih laris di Indonesia adalah kenderaan bersaiz kecil yang sesuai digunakan di kawasan bandar.

Walaupun jenama automotif berusaha memperkenalkan pelbagai segmen EV di pasaran, infrastruktur pengecasan yang masih terhad menyebabkan ramai masih ragu-ragu untuk beralih sepenuhnya kepada EV.

Pengguna lebih memilih EV untuk perjalanan jarak dekat kerana kebimbangan terhadap jarak perjalanan bateri dan kos pengecasan yang tinggi.

Di Indonesia, EV sering dilihat sebagai penyelesaian tunggal untuk mencapai sasaran zero emission. Namun, Yannes menegaskan bahawa tenaga baru terbarukan (EBT), seperti bioenergi, juga mampu mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil, bukan sahaja dalam sektor pengangkutan tetapi juga dalam industri dan pembangkit tenaga.

Bioenergi, termasuk biofuel, boleh membantu Indonesia mencapai matlamat peralihan tenaga serta pengurangan emisi.

Walaupun EV dianggap sebagai teknologi masa depan, Yannes memberi amaran bahawa peralihan daripada kenderaan petrol kepada EV bukanlah semudah yang disangka.

“EV lebih sesuai untuk perjalanan jarak dekat di kawasan bandar, dan kos untuk meningkatkan jarak tempuh bateri sangat mahal,” tegas Yannes.

Sebagai contoh, Tesla yang pada awalnya mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat kini dilihat kurang popular kerana keterbatasan ini.

Di Indonesia, cabaran harga EV yang mahal dan infrastruktur kurang memadai masih menjadi halangan utama.

Sekiranya masalah ini tidak diatasi, peralihan sepenuhnya kepada EV mungkin memerlukan masa lebih panjang daripada yang dijangkakan.

Google ads
Back to top button