Artikel Pilihan

X704, ENJIN 4 SILINDER SEBARIS GSX1300R HAYABUSA

Suzuki Hayabusa atau secara spesifiknya Suzuki GSX1300R Hayabusa adalah sebuah sport bike prestasi tinggi yang mampu mencapai halaju 300km/jam dalam keadaan standard daripada kilang. Halaju ini menyebabkan timbulnya ura-ura daripada kerajaan EU untuk mengharamkan penjualan terus motosikal seperti ini disebabkan risiko berlakunya kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Secara spesifiknya, Suzuki GSX1300R Hayabusa dikuasakan dengan enjin X704 4 silinder sebaris sejukan air dengan sistem aci sesondol berkembar DOHC dengan sesaran enjin mencapai sehingga 1298cc. Dalam keadaan standard pada tahun 1999, enjin Hayabusa ini boleh menghasilkan 175 kuasa kuda pada 9800 RPM dan 113Nm tork pada 6750 RPM merupakan satu pencapaian teknologi yang menakjubkan

Bagi mencapai kuasa tinggi pada RPM yang tinggi, diameter silinder adalah lebih besar berbanding dengan saiz lejang iaitu pada 81mm manakala saiz lejang pula ditetapkan pada 63mm. Nisbah mampatan pula direka pada 11.0:1. Bagi memastikan udara yang masuk adalah mencukupi, saiz injap kemasukan dibesarkan menjadi 33mm manakala injap ekzos pula pada 27.5mm

Bagi menjamin semua udara dan petrol bercampur dalam masa yang singkat dengan sempurna, Suzuki menggunakan teknologi Twin Swirl Combustion Chamber. Ia membenarkan campuran udara dan petrol berpusar dalam 2 pusaran setiap kali udara dan petrol memasuki kebuk pembakaran

Suzuki juga turut menggunakan Suzuki Ram Air Direct (SRAD) iaitu satu rongga kemasukan udara yang dipasang terus di sebelah lampu utama bagi memudahkan udara masuk ke enjin. Sistem ini meningkatkan kelajuan udara memasuki rongga dan meningkatkan tekanan statik. Secara tidak langsung ketumpatan udara yang masuk akan meningkat dan menjadikan enjin lebih berkuasa.

Untuk meningkatkan ketegaran cesi dan mengurangkan gegaran, enjin ini juga dipasang dengan pengimbang (weight balancer) bagi memastikan operasi enjin menjai leboih harmoni. Suzuki Hayabusa menerima model terbaru pada tahun 2008 dengan perubahan turut dibuat pada enjin 4 silindernya.

Saiz enjin dinaikkan kepada 1340cc dengan menaikkan saiz lejang silinder kepada 65mm, saiz diemter silinder kekal 81mm, manakala nisbah mampatan turut dinaikkan kepada 12.5:1. Piston pula dihasilkan daripada kaedah tempaan untuk lebih ringan dan kuat, disalut dengan chrome nitride untuk lebih lasak.

Untuk mengoptimumkan lagi kuasa enjin, injap dihasilkan daripada logam titanium dan sistem suntikan bahan api digandakan daripada 4 unit kepada 8 unit. Kuasa enjin ini meningkat kepada 197 kuasa kuda dan 138Nm tork

Bagi generasi ke 3, enjin ini telah dipertingkatkan bukan dari segi kuasa tapi Suzuki memberi penekanan kepada penghantaran kuasa yang lebih lancar, menghapuskan masalah torque dip pada RPM pertengahan dan meningkatkan tork kepada 150Nm manakala kuasa enjin menurun kepada 190 kuasa kuda.

Antara pembaharuan yang diperkenalkan oleh Suzuki termasuklah menyambungkan saluran paip ekzos daripada silinder 1 ke silinder 4, rekaan cam profile yang lebih baik, diamter throtthle body dikurangkan sebanyak 1mm, mengekalkan rekaan side feed injector, pemangkin asap ekzos 2 lapisan dan pengenalan oksigen sensor dalam ekzos bagi memastikan pelepasan asap memenuhi regulasi Euro 5

Google ads
Back to top button