
XIAOMI TERIMA KELULUSAN NDRC, BAKAL LANCAR MODEL MS11 PADA 2024
Firma telefon pintar China, Xiaomi, dikhabarkan sudah mendapat kelulusan untuk menerima lesen bagi memulakan pengeluaran kereta elektrik pertamanya.
Setelah hampir setahun berhempas pulas mendapatkan kebenaran Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China (NDRC), Xiaomi akhirnya mendapat kebenaran untuk mengeluarkan MS11 Xiaomi.
NDRC sebelum ini menyatakan bahawa mereka hanya mempertimbangkan pengeluar kenderaan yang berpotensi untuk mendapatkan kebenaran.

Sekiranya penilaian NDRC mendapati syarikat kelihatan akan gagal dengan projek kenderaan elektrik, maka projek syarikat untuk mengeluarkan EV perlu dihentikan kerana NDRC mahu memastikan syarikat mampu bersaing di dalam segmen tersebut.
Seterusnya ialah, Xiaomi perlu mendapat lampu hijau dari Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) untuk meluluskan pengeluaran MS11.
Sekiranya model berkenaan diluluskan, mungkin Xiaomi boleh meneruskan rancangan asal mereka iaitu melancarkan model MS11 pada tahun 2024.

Pada musim panas lalu, Xiaomi menampilkan versi prototaip dan versi pengeluaran yang telah bocor kepada umum.
Dengan menampilkan gaya reka bentuk sport car yang signifikan, MS11 EV menggabungkan elemen sangat mirip dengan McLaren, terutamanya pada lampu hadapan serta bentuk bampar.
Untuk tampil lebih sporty, MS11 menambah lubang fender hadapan dan belakang, di samping brek Bembo berwarna kuning terang.
Sementara di bahagian belakang, bar lampu belakang lebar penuh mengingatkan kita kepada Aston Martin DBS, rim pula kelihatan agak serupa dengan Lamborghini Huracan Evo.
Di bahagian lain, terdapat pengesan Lidar dipasang di atas bumbung, manakala hendal pintu tertanam diberikan sentuhan teknologi.
Xiaomi masih belum mendedahkan spesifikasi serta kuasa yang digunakan. Setakat ini, ia dijangka menggunakan bateri g dibekalkan oleh CATL serta BYD, manakala motor elektrik dihasilkan sendiri oleh Xiaomi.

