
YAMAHA FZ VERSI HIBRID DEBUT DI INDIA – CAPAI 500KM DENGAN TANGKI PENUH
Yamaha FZ merupakan antara motosikal yang cukup popular terutamanya di pasaran Asia termasuk di Malaysia beberapa tahun dahulu.
FZ sememangnya sinonim sebagai motosikal ‘work horse’ bagi mereka yang menggunakan dua roda sebagai pengangkutan harian ekoran menawarkan penjimatan minyak terbaik selain penjagaan yang mudah dan tidak menelan belanja tinggi.

Bagi memastikan FZ terus relevan terutamanya dengan kekangan peraturan emisi yang semakin ketat, Yamaha Motor India telah melancarkan FZ-S Hybrid untuk pasaran negara itu.
Meskipun membawa nama Hybrid namun FZ-S Hybrid ini bukanlah hibrid sepenuhnya seperti Kawasaki Ninja 7 Hybrid sebaliknya menampilkan enjin hibrid ringan.

Ini kerana FZ-S Hybrid ini hanya dilengkapi dengan motor elektrik kecil (Smart Motor Generator) yang akan menghasilkan ‘boost’ ekstra ketika melakukan pecutan dan pintasan (overtaking).
Menurut Yamaha walaupun bernadikan enjin satu silinder 150cc yang berupaya menjana hanya 12.4hp dan 13.3Nm namun kehadiran motor elektrik kecil itu menghasilkan daya seakan enjin 200cc.

Smart Motor Generator tersebut bertindak sebagai ‘starter motor’ dan disambung kepada crankshaft. Ketika pecutan berlaku, motor elektrik tersebut menghasilkan daya tambahan keoada enjin sekaligus mewujudkan kuasa ekstra untuk tempoh singkat. Menariknya, motor elektrik itu turut membantu menghidupkan motosikal dengan lebih senyap tanpa bunyi ‘crank’ yang kuat.

Dalam pada itu, ciri utama yang ditawarkan FZ-S Hybrid tertumpu pada penjimatan minyak dengan Yamaha mendakwa motosikal ini mampu capai 500km dengan setiap tangki penuh.
Buat masa ini FZ-S Hybrid ini hanya dipasarkan di India sahaja dengan harga jualan INR131,000 (RM6.6k) sahaja.