
TOYOTA HARRIER BAHARU DEBUT PADA 2026 – TERIMA PERUBAHAN BESAR, HADIR DENGAN VERSI PHEV
Toyota Harrier telah menjadi SUV kegemaran ramai sejak model generasi keempat diperkenalkan pada tahun 2020.
Kini, model baharu dijangka dilancarkan pada tahun 2026 dengan reka bentuk lebih segar dan enjin generasi baharu yang diumumkan oleh Toyota pada Mei 2024.
Toyota memperkenalkan enjin generasi terbarunya dalam acara Multi-Pathway Workshop pada 28 Mei 2024.
Enjin ini terdiri daripada varian 1.5L empat silinder aspirasi natural dan turbo, serta pilihan 2.0L turbo yang akan digunakan dalam pelbagai model utama pengeluar tersebut.

Enjin 1.5L turbo akan menjadi pilihan utama untuk segmen C-D, menggantikan enjin 2.5L konvensional.
Berdasarkan strategi Toyota, Harrier baharu dijangka hadir dengan pilihan PHEV (Plug-in Hybrid Electric Vehicle) dan HEV (Hybrid Electric Vehicle), sejajar dengan hala tuju jenama itu untuk mengekalkan pendekatan pelbagai hala dalam pembangunan model kenderaan mereka.
Toyota akan melancarkan model generasi baharu bermula tahun 2026 dengan menumpukan kepada strategi BEV (Battery Electric Vehicle).
Namun, Toyota tetap meneruskan perancangan untuk memperkenalkan HEV dan PHEV yang dilengkapi enjin terbaru mereka.

Harrier dijangka menjadi model terawal yang menerima teknologi baharu ini, sambil mengekalkan reka bentuknya untuk menarik perhatian pengguna.
Selain Harrier, model lain seperti RAV4, Crown, Alphard/Vellfire juga akan dilengkapi enjin 1.5L turbo bersama pilihan HEV dan PHEV.
Penggunaan enjin yang lebih kompak membolehkan bonet hadapan direka lebih rendah, menghasilkan aerodinamik lebih baik serta mengekalkan elemen premium.
Sejak generasi pertamanya, Harrier terkenal dengan rekaan bergaya dan premium. Dengan pelbagai inovasi baharu, model 2026 dijangka bakal meneruskan legasi ini.
Malah, ilustrasi digital yang dihasilkan oleh Best Car menunjukkan rekaan lebih futuristik dan pastinya bakal mengagumkan peminat SUV mewah.