
LIMA INDIVIDU CEMAS KERETA TERBAKAR
Lima individu termasuk dua kanak-kanak diselamatkan anggota bomba selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dan terbakar di Kilometer 7.6 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.30 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan laporan komander operasi, sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai terbabas sebelum terbakar.
“Terdapat lima mangsa iaitu seorang lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak masing-masing lelaki serta perempuan berjaya diselamatkan.
“Seorang daripadanya yang mengalami kecederaan ringan diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kereta berkenaan musnah 100 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. – Harian Metro