
YAMAHA 125ZR, ADAKAH IA BAKAL JADI “LEJEN” SEPERTI YAMAHA RX-Z?
Umum mengetahui bahawa Hong Leong Yamaha Malaysia sudah menghentikan pengeluaran motosikal “lejen” dua lejang mereka -Yamaha 125ZR. Model yang bermula sebagai asas (rim lidi, brek 1 pot di hadapan), ini berevolusi dengan pantas, menguasai pasaran motosikal dua lejang yang hampir tiada pesaingannya.
Tidak seperti pasaran di negara jiran yang menggemari motosikal automatik, pasaran Malaysia kekal tinggi permintaan underbone, menjadikan 125ZR motosikal paling berkuasa dalam kategorinya. Itupun sebelum Yamaha Y15ZR mengambil alih pasaran tersebut ketika dilancarkan pada 2015.
BACA: YAMAHA 125ZR DITAMATKAN PENGELUARAN
19 tahun dalam pasaran sejak pengenalan model pertamanya, Yamaha 125ZR bukan sahaja popular, ia juga sasaran nombor satu pencuri. Realitinya memang motosikal Yamaha menguasai 10 motosikal paling digemari penyamun di Malaysia.
Baiklah, kita dah saksikan bagaimana batak-batak RX-Z memanipulasi harga motosikal tersebut sejak pengeluarannya dihentikan pada 2010. Harga pasaran RX-Z hari ini sangat tidak munasabah, malah kalau anda bandingkan dengan motosikal lebih besar seperti Kawasaki ER6N pun, harga RX-Z pasti lebih mahal.
Tapi kenapa?
Permintaan. Permintaan terutamanya dari generasi baru yang ingin memiliki motosikal ini menjadikan penawarannya berada dalam skala yang kecil. Kata mudahnya, pembeli ramai tapi penjualnya kurang.
Persoalan sekarang, adakah 125ZR akan mengecapi kejayaan yang dikecapi RX-Z?
Kami merasakan bahawa masanya akan tiba juga.
Lihat lima hingga 10 tahun lagi, akan ada yang menjual 125ZR pada harga CB500R. Logiknya ketika itu, ia sudah tiada dalam pengeluaran dan menjualnya dalam kondisi baru N.O.S (New Old Stock) adalah satu kelebihan.
Reseller sudah tentu belajar dengan populariti RX-Z dan mereka pasti menyesal tidak membeli banyak dan menyimpannya waktu RX-Z ditamatkan pengeluarannya tak lama dahulu.
BACA: YAMAHA 125ZR EDISI TERHAD MOVISTAR
Jika anda ada wang sekarang, silalah beli sebuah dan simpan untuk pelaburan. Ia adalah pelaburan yang lebih baik dari emas atau Bitcoin. Kalau dapat simpan model Limited Movistar memang sangat bertuah lah. Sekarang pun ada yang menjual sampai RM16,000. Tak sampai setahun pun dari tarikh ia dilancarkan.
Secara matematiknya ia adalah keuntungan 50 peratus pada jangkamasa tak sampai setahun. Siapa nak bagi?
ADAKAH 125ZR AKAN JADI MOTOSIKAL LEJEN?
Tak perlu dipersoalkan lagi. Pada ketika motosikal dua lejang sudah tidak lagi diproduksi (kecuali Modenas Dinamik – ketika artikel ini ditulis), 125ZR adalah catatan garis masa penting perubahan industri motosikal underbone di Malaysia secara keseluruhan.
Yamaha di Malaysia meningkat namanya seawal model Yamaha Sports 100 pada tahun 1990, digantikan dengan SS110, kemudian SS2 Racing Spirit dan diakhiri dengan 125ZR.
Berbeza dengan era 90-an, di mana saingan dua lejang cukup sengit dengan Suzuki, menjelang milenia baru, Yamaha tidak diganggu gugat langsung. Jelas, 125ZR adalah motosikal muda mudi pilihan ramai.
Ia bukan sahaja motosikal yang bakal jadi “lejen”, ia adalah motosikal yang mewarnai sejarah industri motosikal underbone dua lejang di Malaysia.
Ia akan kekal dalam lipatan sejarah.