
SIB PERKENAL IDENTITI BAHARU, SASAR SEKTOR BERNILAI TINGGI TERMASUK EV
Sapura Industrial Bhd (SIB) kini tampil dengan identiti korporat baharu dalam usaha menyelaraskan halatuju syarikat ke arah sektor-sektor bernilai tinggi seperti pembuatan farmaseutikal, penyelesaian mobiliti, penjagaan kesihatan, teknologi Internet-of-Things (IoT), serta ekosistem kenderaan elektrik (EV).
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Izuan bin Kamarulbahrin, berkata langkah penjenamaan semula ini selari dengan strategi jangka panjang syarikat untuk mempelbagaikan operasi, namun tetap mengekalkan fokus pada kepakaran terasnya dalam pembuatan komponen.
“SIB telah berdiri secara autonomi sejak 2013, dan penjenamaan baharu ini juga penting bagi menghapuskan kekeliruan yang masih wujud berhubung kaitannya dengan bekas syarikat induk, Sapura Holdings,” katanya.
Tambah beliau, melalui penjenamaan semula ini, SIB ingin dilihat bukan hanya sebagai pengeluar komponen, tetapi sebagai penyedia perkhidmatan, pencetus inovasi dan rakan kerjasama dalam membangunkan penyelesaian teknologi masa depan sejajar dengan aspirasi perindustrian berteknologi tinggi negara.

Antara inisiatif terkini yang diteroka ialah penglibatan dalam industri EV melalui platform “SIB Mili”, menyaksikan kerjasama dengan usahawan berpengalaman dalam bidang mobiliti elektrik.
“Kami kini menumpukan kepada servis penyelenggaraan kenderaan selepas tamat tempoh jaminan, baik pulih bateri EV dan hibrid, serta latihan teknologi berkaitan untuk menyokong pertumbuhan ekosistem mobiliti bersih di Malaysia.
“Permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meningkat, khususnya untuk EV dan kereta hibrid selepas tempoh jaminan tamat. Teknologi membaiki dan mengganti sel bateri akan menjadi salah satu tunjang penawaran kami, di samping usaha memperkasa bakat tempatan,” ujarnya.
Walaupun sumbangan sektor EV kepada hasil kumpulan masih kecil, sekitar satu peratus, SIB menjangkakan pertumbuhan pesat hingga lima kali ganda dalam masa terdekat.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa aktiviti utama syarikat masih lagi berpaksikan kepada pembuatan komponen seperti palang penstabil, cakera brek dan spring, termasuk bagi model enjin pembakaran dalaman serta EV.